Tahun 2022 Sangat Penting Bagi GRS Laksanakan Agenda Pembangunan – Limus

KUALA PENYU: Tahun 2022 sangat penting bagi Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melaksanakan agenda pembangunan yang dirancang, kata Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri
Datuk Limus Jury.

Advertisements

Beliau berkata ini kerana kerajaan sudah meletakkan sasaran tinggi untuk dicapai seperti yang terkandung dalam Bajet Tahun 2022 yang bertemakan “Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera”.

“Sebagai pemimpin kerajaan, saya ingin nyatakan di sini bahawa tema itu dirangka berteraskan aspirasi dan komitmen Kerajaan Negeri untuk memulihkan ekonomi yang terkesan daripada pandemik, seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Limus berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Taklimat Strategi Pelaksanaan Pemutihan Miskin Tegar Tahun 2022 anjuran Pejabat Daerah Kuala Penyu dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah, di sini pada Isnin.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) akan menumpukan kepada program-program menaik taraf sosio ekonomi, infrastruktur asas dan memperkasa peranan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Bagi tujuan itu, katanya, sebanyak RM210.66 juta diperuntukkan kepada KPLB pada tahun ini bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Sabah.

Sehubungan itu, Limus berkata kerajaan akan terus giat melaksanakan program-program pembasmian kemiskinan dengan memberi keutamaan kepada golongan miskin tegar.

“Saya percaya, inilah antara penekanan program taklimat ini. Selain itu, banyak lagi program dirangka bagi membantu golongan miskin dan miskin tegar untuk dilaksanakan tahun 2022 ini.

“Antaranya, kerajaan akan mengenal pasti golongan usahawan untuk dilatih melalui Program Pembangunan Usahawan Desa dan Program Satu Daerah Satu Produk dan penggunaan teknologi terkini supaya golongan ini tidak ketinggalan oleh arus perubahan,” kata beliau.

Oleh itu, beliau berharap semua agensi pelaksana serta badan bukan kerajaan dapat meningkatkan kerjasama dan penyelarasan agar semua projek dan aktiviti pembasmian kemiskinan dapat dilaksanakan dengan lebih baik dengan impak yang nyata kepada kumpulan sasaran.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles