KOTA KINABALU: 5.8 juta pengundi tambahan terutamanya mereka yang berusia 18 tahun digesa supaya melakukan urusan semakan daftar pemilih bagi mengesahkan rekod maklumat masing-masing.
Naib Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Bersatu (UPKO) Datuk Wong Thien Fook berkata, ia bagi memastikan tiada kesilapan seperti tempat mengundi atau alamat belum dikemaskini.
Katanya, sesiapa yang mengesan sebarang kesilapan disarankan supaya segera membuat aduan bagi membuat pembetulan mengikut kepada rekod sepatutnya.
“Sekiranya terdapat kesilapan pada rekod daftar pemilih, UPKO bersedia untuk membantu orang ramai memperbetulkan mengikut rekod pengundi sendiri.
“Orang ramai boleh menghubungi saya ditalian 019-8806731 atau pejabat UPKO 088-718182, 088-721723 sekiranya memerlukan bantuan dalam urusan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Thien Fook berkata, pengundi baharu perlu memandang serius untuk menyemak status mereka agar dapat menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Katanya, ia termasuk memastikan mereka dapat keluar mengundi di tempat mengundi yang paling dekat ataupun selaras dengan alamat tinggal seperti tertera di Mykad masing-masing.
“Inilah ruang dan peluang untuk rakyat memilih pemimpin dan kerajaan yang mereka inginkan melalui proses demokrasi,” katanya.
Sementara itu, Thien Fook berkata,
mengikut kenyataan yang dikeluarkan SPR, seramai 5.8 juta pemilih termasuk mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas sudah didaftarkan dan layak mengundi selepas 16 Januari tahun ini.
Katanya, daripada jumlah itu, 1.2 juta pengundi membabitkan blok pemilih baru berusia 18 tahun dan selebihnya berusia 21 tahun ke atas.
“Mengikut kepada SPR, semakan boleh dibuat secara atas talian di laman portal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my,” katanya.