Srikandi Perlu Kuasai Media Sosial

KOTA KINABALU: Seluruh jentera Srikandi Bersatu Sabah diminta menguasai kemahiran dan pengetahuan mengenai teknologi media sosial untuk dimanfaatkan dalam mengukuhkan gerak kerja parti.

Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, tanpa kemahiran dalam dunia teknologi digital yang kini menguasai banyak aspek kehidupan, setiap individu dan organisasi akan ketinggalan dengan perubahan semasa.

Menurut beliau, bagi meningkatkan kemahiran tersebut, ketua-ketua penerangan serta biro latihan dan komunikasi Srikandi perlu menyusun program berkaitan supaya setiap ahli mampu menguasai teknologi digital hari ini.

Katanya, untuk mendekati orang ramai pada masa ini bukan sahaja bergantung kepada kaedah bersemuka tetapi perlu diperkukuh dan diperkuatkan melalui sistem maya yang semakin canggih.

“Biro yang berkenaan perlu melaksanakan secara berkala kursus-kursus berkaitan media sosial, aplikasi dan kaedah jaringan Facebook, Page, Instagram, Twitter malah TikTok yang semakin popular hari ini.

“Mereka juga perlu didedahkan dengan pengisian atau content yang menepati cita rasa golongan sasar yang pelbagai hari ini. Untuk mendekati orang ramai apa sahaja kaedah perlu dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Khas Awal Tahun Penerangan Srikandi Bersatu Negeri bersama Biro Latihan & Komunikasi di sini pada Sabtu.

Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, media sosial bukan sahaja membolehkan penyebaran maklumat menjadi mudah tetapi juga membolehkan pemimpin mengetahui isu-isu yang berbangkit di peringkat akar umbi.

“Melalui media sosial kita bukan sahaja boleh mengawal maklumat untuk disampaikan tetapi juga menerima maklumat daripada bawah untuk diberi perhatian. Dalam hal ini, kita boleh mengenal pasti isu-isu yang berbangkit di 25 bahagian yang kita ada,” ujar beliau

Katanya, oleh kerana media sosial mempunyai pengaruh yang besar kepada orang ramai dan mampu mempengaruhi corak pemikiran rakyat, seharusnya setiap jentera Srikandi mempunyai keupayaan untuk mengawal sebarang dakyah yang disebarkan.

Malah, katanya, mereka seharusnya mampu mendidik pengguna media sosial supaya menjadikan platform media sosial itu sebagai pemangkin kepada kemajuan ekonomi.

“Jika digunakan untuk menyebarkan maklumat yang baik, dijadikan platform untuk perniagaan, saya percaya penggunaan media sosial ini mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi masyarakat.

Oleh itu, kita tidak lagi boleh ketinggalan dan perlu menjadi peneraju kepada komuniti alam maya ini. Kita tidak boleh menjadi sekadar pengikut atau follower. Kita yang menyediakan content atau pengisian yang sesuai, membina fikiran, meningkatkan kefahaman mengenai organisasi dan dasar kerajaan serta pelbagai lagi ilmu pengetahuan,” tambah beliau.

Hadir sama Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Sabah, Anna Bell Perian, Timbalan Ketua Penerangan Srikandi, Liza Din serta ketua-ketua penerangan daripada 25 bahagian seluruh Sabah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles