KOTA KINABALU: SRIKANDI BERSATU negeri Sabah menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk mempercepat pemberian bantuan kepada penduduk yang terlibat dengan masalah bencana terutama mangsa banjir.
Ketuanya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, tindakan segera selepas bencana penting kerana mangsa yang terlibat musibah amat memerlukan bantuan dan sokongan hidup.
Menurut beliau, kes yang perlukan tindakan segera ialah penduduk yang kehilangan kediaman atau mengalami kerosakan tempat tinggal selain mereka yang kehilangan harta benda dan kelengkapan asas.
“Sebilangan mereka kehilangan tempat tinggal, kenderaan, peralatan rumah. Manakala golongan seperti petani serta mereka yang bekerja sendiri juga kerugian dan kehilangan pendapatan apabila berlakunya kejadian banjir besar sebegini.
“Wajar untuk kerajaan Pusat dan negeri mempercepat tindakan membantu mereka dari semua sudut, terutamanya memperbaiki dan menggantikan infrastruktur yang rosak seperti jambatan , jalan raya disebabkan bencana.
“Begitu juga agensi berkaitan perlu segera menangani masalah banjir kilat untuk jangka pendek dan jangka panjang disebabkan sungai atau parit yang tidak dikawal selia dengan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir dalam Mesyuarat Biro Politik Srikandi Bersatu Sabah di sini hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Beaufort itu juga, kejadian banjir besar yang berlaku baru-baru ini dan masih berterusan hingga kini adalah suatu kejadian yang amat memilukan semua pihak dan saat genting sedemikian memerlukan usaha dan kesepakatan pelbagai pihak.
“Di saat ini tidak lain tidak bukan, usaha kita semua perlu bersepadu dan sepakat demi untuk membantu mereka yang memerlukan sokongan moral dan bantuan kewangan untuk meneruskan kehidupan.
“Dugaan bencana alam ini bukan dugaan kecil, ia sangat berat dan pastinya kesan yang ditinggalkan akan menjadi trauma kepada mangsa-mangsa,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Azizah juga berkata, bahawa Srikandi Bersatu Sabah telah bersedia untuk menggerakkan jentera dan usaha-usaha pemerkasaan parti khasnya untuk berdepan situasi genting pada bila-bila masa.
“Kita akan memulakan langkah kita untuk tahun 2022 dengan perancangan jitu dan teliti untuk mengatur strategik survival kita dalam perjuangan parti membela nasib rakyat jika berlaku bencana.
“Kini jentera kita dalam mood bersiap sedia dari semua peringkat meliputi Pusat Daerah Mengundi (PDM), Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
“Kita juga akan memberi penekanan kepada ahli-ahli Srikandi kita yang terlibat dengan perihal jentera parti bagi memberi mereka lebih pendedahan dan ilmu tambahan tentang pengendalian sistem, sekaligus kita juga akan terus membuat pemantauan kepada kawasan-kawasan tumpuan,” ujar beliau lagi.
Hadir sama Naib Ketua Srikandi Bersatu Sabah Datuk Amisah Yassin, Penolong Setiausaha Dato Redonah Bahanda, Penolong Bendahari Datin Jamaliah Antalip, Ketua Penerangan Anna Bell Perian, Datuk Surinam Sadikun (Sipitang), Salmi Sarinoh (Kota Kinabalu) dan Fahzean Mohiddin (Papar).