Tindakan Peter tepat, bantu kerajaan GRS perjuang isu rakyat

285

KOTA KINABALU: Tindakan bekas Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Peter Anthony yang berhasrat menyokong kerajaan hari ini adalah perkara yang tepat.

Presiden Gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Datuk Fadli Fathullah berkata, tindakan Peter itu menunjukkan bahawa beliau sebenarnya telah meneliti perjuangan kerajaan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mementingkan perpaduan.

“Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor adalah seorang pemimpin yang berdisiplin dan bebas rasuah serta pentadbirannya membuka mata masyarakat hari ini termasuk wakil rakyat untuk membentuk kerajaan yang lebih baik.

“Jadi tindakan Peter dalam menyokong dasar kerajaan hari ini adalah satu tindakan yang tepat dalam menanggani isu rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, mandat yang diberikan rakyat ditambah dengan sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyatakan sokongan kepada kerajaan diharap tidak akan disia-siakan.

“Malah ini dipercayai akan memberi impak dalam usaha memajukan rakyat ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Selasa lalu, Peter mengumumkan keluar Warisan bersama ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan menyatakan akan menubuhkan parti baharu mesra kerajaan GRS dalam masa terdekat.