Kerjasama PPD Tuaran, Yayasan WISDOM dan MindAppz mampu tingkatkan pencapaian pelajar SPM 2021

374

TUARAN: Kerjasama antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran, Yayasan WISDOM dan MindAppz Sdn. Bhd melalui Program Pecutan Akhir SPM e-Tuisyen 2021 mampu meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pegawai PPD Tuaran, Hajah Wanihim Othman berkata, kerjasama itu dilihat sebagai nilai tambah kepada pelbagai usaha yang dilaksanakan PPD dan seluruh sekolah menengah di daerah tersebut.

“Sebagai makluman, keputusan SPM bagi daerah Tuaran sentiasa ada turun naik setiap tahun bagi Layak Mendapat Sijil (LMS) dan juga Gred Purata Daerah (GPD).

“Beberapa inisiatif di peringkat PPD telah dibuat sebagai usaha membantu calon-calon SPM membuat persediaan dengan harapan mereka dapat menjawab dengan tepat dan betul.

“Hari ini PPD Tuaran berasa bertuah kerana mendapat tajaan daripada Yayasan WISDOM dengan kerjasama MindAppz untuk membolehkan calon-calon SPM mengikuti e-Tuisyen secara percuma,” katanya.

Wanihim berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Pecutan Akhir SPM e-Tuisyen 2021 yang berlangsung secara maya, di sini, hari ini.

Menurut beliau, antara inisiatif PPD sebelum ini termasuklah beberapa program seperti perkongsian bahan bantu pembelajaran melalui siri webinar, youtube, streaming dan pelbagai perkongsian melalui saluran media yang boleh dicapai secara maya.

“Dengan slogan ‘Semak, Pimpin dan Bantu’ beberapa modul pembelajaran juga telah dihasilkan dalam mata pelajaran teras dan elektif SPM seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, dan Sejarah.

“Justeru, melalui program e-Tuisyen yang ditaja sepenuhnya ini, saya berharap agar semua calon SPM dapat mengambil peluang ini sebagai salah satu pecutan akhir menyediakan diri menghadapi peperiksaan pada bulan Mac 2022.

“Saya sangat berterima kasih kepada Yayasan WISDOM dan MindAppz atas sumbangan penajaan yang akan membantu calon-calon SPM membuat persediaan menghadapi peperiksaan ini. Sama-samalah kita mendoakan semoga usaha ini akan membantu meningkatkan pencapaian SPM tahun 2021 dalam kalangan pelajar sama ada di peringkat LMS atau GPD,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Yayasan WISDOM, Zila Fawzi dalam ucapannya berkata, sebanyak 11 buah sekolah dalam Daerah Tuaran telah dipilih untuk mendapat manfaat daripada program pecutan akhir tersebut.

“Kami amat berbesar hati kerana PPD Tuaran menyokong penuh inisiatif ini dan telah memberikan kerjasama yang utuh untuk memastikan program ini dapat dilaksanakan demi pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang akan menduduki SPM pada bulan Februari dan Mac 2022.

“Inisiatif ini disempurnakan lagi dengan inovasi tuisyen atas talian oleh pihak MindAppz yang saya kira amat relevan dengan keadaan ketika ini dimana pembelajaran atas talian adalah sebahagian daripada norma baharu bagi para pelajar.

“Langkah mempromosi tuisyen atas talian adalah inisiatif pembelajaran yang ke hadapan dan akan mempersiapkan para pelajar untuk lebih cekap dan dapat mengadaptasi sepenuhnya perubahan kehidupan berteknologi termaju apabila mereka melangkah ke peringkat pendidikan yang lebih tinggi ataupun dunia pekerjaan,” katanya.

Ujar Zila, Yayasan WISDOM turut mempertimbangkan untuk memperluaskan program seumpama itu ke semua peringkat persekolahan di Sabah agar mampu dimanfaatkan lebih ramai pelajar SPM.

“Bagi tujuan ini, saya menjemput mana-mana pihak, badan korporat mahupun persendirian untuk membuat sumbangan dan tajaan agar lebih ramai pelajar mendapat akses kepada sumber pembelajaran tambahan kaedah e-Tuisyen,” ujar beliau.

Hadir sama pada program tersebut, Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MindAppz Sdn. Bhd, Thinesh Kumar, pengetua-pengetua sekolah menengah di daerah Tuaran, guru-guru serta calon-calon peperiksaan SPM 2021.