KOTA KINABALU: Kira-kira 363 graduan Kolej SIDMA dalam jurusan program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Diploma Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan bergraduasi dalam Majlis Konvokesyen ke-7 yang berlangsung selama dua hari sehingga 21 Disember.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata kecemerlangan para graduan yang berjaya menamatkan pengajian selepas berdepan kesukaran belajar secara dalam talian akibat daripada pandemik COVID19 adalah suatu yang perlu dibanggakan.
“Saya dapat merasakan keperitan dan kesukaran graduan-graduan kerana buat kali pertamanya kita berdepan pandemik sebegini rupa yang memaksa proses pengajaran dan pembelajaran untuk diadakan secara dalam talian.
“Semua institusi pendidikan, sama ada sekolah mahupun kolej diarahkan untuk menutup operasi seketika dan semua pembelajaran dilakukan secara dalam talian, namun akhirnya hari ini, graduan-graduan kita telah membuktikan bahawa usaha keras pasti membuahkan hasil, walaupun dugaan datang tanpa di duga,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap semasa Majlis Konvokesyen ke-7 Kolej SIDMA di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Kolej SIDMA, Dr Morni Kamrie dalam ucapannya turut mengingatkan para graduan untuk sentiasa mengingati asal usul dan tidak melupakan jasa keluarga.
Katanya, pengorbanan ibu bapa adalah suatu bentuk kasih sayang yang tidak dapat ditukar ganti dan anak-anak yang sudah berjaya wajar membalas jasa ibu bapa.
“Selepas bergraduasi, perlu terus ingat segala pengorbanan ibu bapa, jasa mereka tidak dapat diukur dengan nilai apa pun, jadilah anak yang berbakti kepada mereka selepas berjaya, bantulah adik-beradik yang juga menjadi tulang belakang kepada kejayaan anda semua.
“Saya juga ingin para graduan SIDMA untuk terus menimba ilmu dan tidak berhenti untuk menambah segala pengetahuan kerana ilmu adalah perjuangan yang perlu kita teruskan, walaupun anda sudah memasuki alam pekerjaan kelak,” ujar beliau lagi.
Dua graduan dinobatkan sebagai pelajar terbaik, Damien Godrey bagi Diploma Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dan Nur Qerina Hanisa Abdul Halim bagi Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.