KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin menzahirkan kekecewaan terhadap pihak persekutuan yang tidak mengiktiraf Jabatan Kerja Raya Sabah sebagai sebuah jabatan teknikal.
“Saya sebagai menteri Kerja Raya Sabah, amat kecewa dengan perkara ini dan akan membawa perkara ini sekali lagi ke dalam Dewan Parlimen.
“Saya akan bersama-sama JKR Sabah memperjuangkan perkara ini sehingga ke titisan darah saya yang terakhir, sehingga kita diiktiraf sebagai sebuah jabatan teknikal,” katanya.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 di sini pada Khamis.
Beliau berkata JKR telah berkhidmat membangunkan infa Negeri Sabah sejak merdeka, telah menyiapkan ribuan projek Persekutuan dan Negeri.
“Amanah dan tanggungjawab Jabatan Kerja Raya Sabah iaitu untuk membangunkan infa Negeri Sabah bukanlah suatu yang mudah.
“Lebih-lebih lagi pada masa ini kita berhadapan dengan pandemic Covid19, cuaca yang tidak menentu dan kekurangan tenaga sumber manusia,” katanya.
Bung berkata cabaran-cabaran itu boleh menggagalkan penyampaian perkhidmatan, namun dengan adanya aset sumber manusia yang cemerlang dan berintegriti, semua halangan itu pasti dapat diatasi dengan baik.