Madius minta Speaker tangguh persidangan, hantar usul batalkan Ujian mendengar Bahasa Malaysia dan Ujian Bahasa Inggeris SPM pada Sabtu

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menghantar usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) berhubung Ujian mendengar Bahasa Malaysia dan Ujian Bahasa Inggeris Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diadakan pada Sabtu, 19 Feb 2022.

Advertisements

Dalam surat yang ditujukan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh hari ini, beliau meminta persidangan ditangguhkan bagi merundingkan perkara tersebut untuk kepentingan ramai dan perlu disegerakan.

“Jadual peperiksaan SPM sesi 2021 yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 18 Oktober 2021, memasukkan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dalam jadual.

“Jadual ini dibantah oleh pelbagai organisasi dan individu termasuk daripada National Union of the Teaching Profession (NUTP) dan Gereja Seventh Day Adventist (SDA).

“Sebab utama bantahan ialah kerana hari Jumaat, Sabtu dan Ahad adalah masa untuk guru-guru serta para pelajar untuk bersembahyang berjemaah. Jumaat untuk orang Islam, Sabtu untuk orang Kristian SDA dan Ahad bagi Kristian yang lain-lain,” katanya.

Menurut Madius, bagi penganut Kristian SDA, hari Sabtu pada setiap minggu bermula daripada terbenam matahari pada hari Jumaat sehingga terbenam matahari pada hari Sabtu, adalah haram bagi mereka untuk melakukan sebarang kerja selain bersembahyang dan aktiviti kebajikan.

Oleh itu katanya, bagi guru-guru dan pelajar Kristian SDA, peperiksaan pada hari Sabtu sama sekali tidak dapat dihadiri.

“Tuaran berterima kasih kerana jadual peperiksaan tersebut telah pun dikaji semula dan tidak ada lagi peperiksaan pada hari Jumaat dan Ahad.

“Walau bagaimanapun, KPM masih mempertahankan untuk meneruskan jadual Ujian Mendengar Bahasa Malaysia dan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris pada hari Sabtu, 19 Feb 2022.

“Akibatnya ribuan pelajar dan guru-guru Kristian SDA tidak dapat mengikuti dua ujian tersebut kerana menunaikan kepercayaan agama mereka.

“Persoalan rakyat ialah, kenapakah pelajar-pelajar beragama SDA terus dizalimi hanya kerana mereka mengamalkan prinsip Rukun Negara yang pertama iaitu “Kepercayaan kepada Tuhan,” tegasnya.

Tambahnya, falsafah pendidikan kebangsaan juga menekankan tentang kepatuhan kepada Tuhan sebagai tonggak pembinaan insan yang mulia.

Madius turut mempersoalkan kewajipan dan tanggungjawab kerajaan yang sepatutnya melaksanakan Rukun Negara sepenuhnya tanpa mengira anutan agama dan kaum.

“Ketidakhadiran ini sudah pasti menyebabkan mereka akan gagal kedua-dua mata pelajaran teras tersebut dan gagal peperiksaan SPM secara keseluruhannya.

“Justeru, Tuaran meminta supaya KPM membatalkan jadual Ujian Mendengar Bahasa Malaysia dan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris pada 19 Februari 2022 itu dan membuat jadual baru pada hari Isnin hingga Khamis sepanjang bulan,” tegas Madius.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles