Kerajaan GRS salur RM42.9 juta bantu sekolah, badan keagamaan bukan Islam

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyalurkan kira-kira RM42.9 juta untuk bantuan sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM17.9 juta bantuan kepada sekolah, antaranya Sekolah Persendirian Cina, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, tadika dan sekolah swasta.
Manakala bantuan kepada badan keagamaan iaitu gereja, kuil dan tokong membabitkan sejumlah RM24.9 juta.
“Sebagai kerajaan yang prihatin dan saksama, kita akan meneruskan bantuan dan peruntukan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di negeri ini.
“Bantuan itu juga sebagai tanda dan bukti bahawa kerajaan negeri GRS serius serta ikhlas dalam membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kota Kinabalu Christmas Celebration 2021 anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Gereja-Gereja Sabah di Padang Merdeka, hari ini.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri komited memastikan perpaduan rakyat, keharmonian kaum dan toleransi beragama yang kukuh di negeri ini akan terus berkekalan.
Katanya, sebarang tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat dan kestabilan kerajaan, perlulah dihindari bagi membolehkan kita merealisasikan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan berkesan untuk meningkatkan lagi ekonomi sekali gus memacu pembangunan dan kemajuan di negeri ini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong penganjuran apa juga festival, karnival dan program-program yang menjurus ke arah pemantapan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.
“Penganjuran festival Krismas dapat meningkatkan lagi semangat perpaduan, toleransi dan saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang bangsa, kaum dan agama.
“Sememangnya semangat seumpama ini sudah lama diamalkan di Sabah dan ia juga sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob”, tambahnya
Hajiji turut menyeru rakyat agar terus bersama-sama memastikan kemakmuran sosial dapat dipelihara dan dipertingkatkan bagi kesejahteraan dan manfaat bersama.
Katanya, kerjasama dan sokongan rakyat akan menyumbang kejayaan kepada segala dasar dan program yang sedang kerajaan laksanakan di bawah pelan pembangunan Hala Tuju SMJ.
Menyentuh perayaan Krismas yang akan disambut oleh penganut Kristian tidak lama lagi, beliau berkata ia adalah acara penting dan suci yang meraikan kelahiran Nabi Isa.
“Krismas juga adalah masa untuk diri kita muhasabah diri dan bersyukur. Ia juga adalah masa untuk mengingati mereka yang kurang bernasib baik daripada kita, yang menghadapi masa sukar akibat pandemik ini. Marilah kita bersama-sama mengingati mereka dalam doa dan bersama membantu setakat yang mampu”, tambahnya.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles