GEM Upko Sifatkan Keputusan Mahkamah Arah KDN Daftarkan MUDA Tepat

KOTA KINABALU: Generasi Muda (GEM) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Malaysia menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Menteri Dalam Negeri mendaftarkan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai tepat dan bersesuaian dengan semangat sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Advertisements

Ketuanya Maxolvine Sintore Gabu berpendapat KDN tidak harus menyalahgunakan kuasa untuk menghalang mana-mana kumpulan yang tidak sehaluan dengan “government of the day” mendaftarkan diri sebagai parti politik.

“MUDA merupakan sebuah parti politik yang memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira identiti bangsa, agama dan usia sama seperti UPKO,” katanya pada Selasa.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang memerintahkan Menteri Dalam Negeri supaya mendaftarkan MUDA sebagai sebuah parti politik dalam tempoh 14 hari.

Dalam laporan media hari ini, Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu, selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan 12 individu lain, mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menolak rayuan mereka mendaftar MUDA sebagai sebuah parti politik.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Lim Wei Jiet, yang mewakili Syed Saddiq dan 12 yang lain, ketika sidang media selepas pengumuman keputusan itu.

Wei Jiet berkata, dalam penghakimannya, Mahkamah Tinggi menyifatkan alasan menolak pendaftaran MUDA iaitu prejudis kepada keselamatan negara adalah tidak berasas.

Maxolvine berkata, sebagai belia atau generasi muda, beliau beranggapan bahawa kemunculan MUDA dalam arena politik tanah air sangat bersesuaian dengan pelaksanaan Undi18 sekaligus mengangkat suara belia ke tahap yang lebih tinggi.

“GEM juga mempunyai pandangan dan harapan yang sama dengan MUDA iaitu menjadikan politik tanah air yang lebih matang, lebih menyatupadukan dan paling penting berorentasikan kepada perkhidmatan terhadap rakyat untuk menjadikan Malaysia lebih progresif,” katanya.

Katanya lagi, GEM UPKO bersedia bekerjasama dengan Parti MUDA terutama Parti MUDA Sabah dalam usaha menjadikan Sabah lebih progresif dan makmur.

Sumber – Nabalu News

Related Articles

253FansLike

Latest Articles