Cadangan usul pindaan pendidikan dan kesihatan Sabah, Sarawak sebagai senarai bersama Perlembagaan Persekutuan ditolak

414

KUALA LUMPUR: Usul pindaan yang dicadangkan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) memasukkan pendidikan dan penjagaan kesihatan Sabah dan Sarawak dalam senarai bersama dalam Perlembagaan Persekutuan tidak dibenarkan.

Perkara itu diumumkan secara bersurat oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, di sini pada Jumaat.

Menurut Azhar, notis daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk meminda Senarai Bersama dengan memasukkan butiran yang diperuntukkan di bawah Senarai Persekutuan kepada Senarai Bersama merupakan isu yang berlainan daripada tujuan asal Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021.

“Cadangan pindaan Ahli-Ahli Yang Berhormat merupakan suatu perkara yang baharu dan merupakan isu dasar yang memerlukan libat urus serta perancangan yang teliti antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan-kerajaan Negeri.

“Kerana cadangan sedemikian sekiranya dipersetujui, bukan melibatkan Sabah dan Sarawak sahaja tetapi semua negeri di samping mempunyai implikasi yang besar dari segi pelaksanaan dan kewangan.

“Oleh yang demikian, saya tidak dapat membenarkan usul Ahli-Ahli Yang Berhormat ini dibawa ke Majlis Mesyuarat,” katanya.

Notis pindaan tersebut dicadangkan dan telah dihantar kepada Azhar oleh Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen; Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin pada 30 November lalu.

Dalam pada itu Madius memaklumkan, cadangan usul itu membabitkan penambahbaikan RUU yang akan menyentuh Perkara 1(2) dan 160(2).

“Kita hanya mencadangkan pindaan RUU itu untuk ditambah baik dengan meminda ‘Senarai IIIA Jadual Kesembilan – Tambahan kepada Senarai Bersama bagi Sabah dan Sarawak.

“Dengan langkah ini, Sabah dan Sarawak akan mempunyai kuasa untuk membantu kerajaan persekutuan dalam hal penjagaan kesihatan dan Pendidikan,” katanya.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2021 dijangka akan dibentangkan esok.