KOTA KINABALU: Tiga tahanan yang terlibat dalam kes narkotik bertindak melarikan diri dari Hospital Mesra Bukit Padang, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah, dalam satu kenyataan, berkata dalam kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu, tiga suspek dikenali sebagai Mohd Azrul Dorah, 28, Mohamed Hidswan Jumalti, 34, dan Mohammad Sobrie Muali, 32, melarikan diri dengan memanjat tembok di belakang Wad 7, Dometry A CPC, Hospital Mesra Bukit Padang.
Beliau berkata siasatan awal mendapati pengadu bersama dua rakan sekerja di hospital berkenaan mula bertugas dari jam 7.00 pagi dan akan selesai tugas pada jam 2.00 petang.
Semasa pengadu sedang menjalankan tugasan pejabat telah didatangi oleh rakan sekerja penama Mohd Nor Hafizan yang menyatakan bahawa terdapat tahanan melarikan diri dengan memanjat tembok di belakang Wad 7 hospital berkenaan.
Menyedari perkara tersebut, pengadu bersama rakan sekerja dengan bantuan sekuriti Hospital cuba mengesan dan menangkap tahanan terbabit.
Namun kesemua yang terlibat tidak dapat ditemui walaupun usaha mencari dijalankan di kawasan sekeliling Hospital, katanya.
Mohd Zaidi berkata kesemua suspek yang melarikan diri itu adalah tahanan yang terlibat dalam kes Narkotik dan telah dimasukkkan ke Hospital Mesra Bukit Padang atas arahan Mahkamah di bawah Sek 342 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Katanya kesemua suspek itu disyaki mempunyai masalah mental dan diarahkan untuk menjalani rawatan selama satu bulan sebelum dihadapkan kembali ke Mahkamah.