KOTA KINABALU: Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 telah bersetuju memberi kuasa kepada Pengarah Jabatan Perikanan Sabah dan Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak bagi melaksanakan urusan pengeluaran permit dan lesen laut dalam bagi vesel penangkapan ikan zon C2.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata pemberian kuasa itu bermula dengan penerimaan permohonan, pengauditan, penilaian, kelulusan permohonan sehingga pengeluaran permit dan lesen vesel dan peralatan penangkapan ikan laut dalam Zon C2 tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan secara bersama.
Beliau berkata pihaknya sentiasa bersedia mengadakan sesi libat urus dengan Kerajaan Sabah supaya kepentingan pengurusan sektor perikanan Negeri Sabah diambil kira dalam cadangan penambahbaikan kepada Akta Perikanan 1985 [Akta 317] yang akan dilaksanakan setelah kajian berkenaan penambahbaikan tersebut dimuktamadkan.
“Saya berharap agar keputusan bersama ini dapat memanfaatkan kedua-dua pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri khususnya dari segi pengurusan sumber perikanan, keselamatan perairan dan hubungan antarabangsa.
“Saya percaya inisiatif Kerajaan melalui pemberian kuasa ini akan dapat menjaga kepentingan Sabah dan keharmonian semua sebagai Keluarga Malaysia,” katanya.
Ronald berkata demikian ketika menyampaikan Taklimat Mengenai Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 Bersama Adun di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah di Likas, hari ini.
Pada majlis itu, beliau menyerahkan surat empowerment (pemberian kuasa) kepada Kerajaan Negeri Sabah khususnya bagi Pelesenan Perikanan Laut Dalam di negeri ini.
Ronald berkata pada masa yang sama, kerajaan Sabah juga boleh melaksanakan dasar-dasar sedia ada dan dasar-dasar baharu berkaitan pengurusan perikanan yang bersesuaian dengan keperluan industri perikanan di negeri ini dengan mengikut norma-norma instrumen pengurusan perikanan antarabangsa.
Bagi terus memperkasa sektor perikanan dan sektor pertanian negara secara umumnya, katanya MAFI telah melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), yang bertujuan antara lainnya meningkatkan produktiviti dan pendapatan nelayan serta penternak akuakultur.
Beliau berkata DAN 2.0 juga mendukung aspirasi dan hala tuju sektor agromakanan negara untuk lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.