KOTA KINABALU: Pembinaan projek Kondominium Signal Hill di pinggiran bandaraya di sini dijangka membantu merancakkan kembali industri pembinaan negeri Sabah yang suram pasca COVID-19.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata projek itu turut memberi peluang kepada syarikat kontraktor binaan, perunding projek, syarikat pemasaran hartanah selain golongan peniaga bumiputera yang terkesan susulan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara.
Beliau berkata projek pembangunan berkenaan juga dijangkakan mampu membuka sekitar 2,000 hingga ke 3,000 peluang pekerjaan.
Mahdzir berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Bagi Cadangan Projek Pembangunan 441 Unit Kondominium di Signal Hill, Kota Kinabalu yang disempurnakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Menurutnya projek pembangunan itu turut dijadikan sebagai contoh inisiatif pembangunan perumahan di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H) yang bakal membawa banyak manfaat kepada ekonomi Sabah melalui kemasukan pelabur dan pelancong luar negara ke negeri ini.
Mahdzir yakin projek pembangunan yang
dibangunkan di atas sebidang tanah dengan keluasan 5.48 ekar itu
akan memberi impak baik secara langsung terhadap pertumbuhan ekonomi negeri Sabah.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Mahdzir berkata kementeriannya menerusi agensinya MARA komited untuk membela nasib usahawan di negeri ini.
Beliau berkata tahun ini sahaja, MARA telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi membantu sekitar 500 usahawan negeri ini.
Katanya inisiatif itu tertumpu kepada usaha membantu usahawan-usahawan khususnya di kawasan luar bandar.
Katanya MARA yang mempunyai 13 pejabat di seluruh negeri juga memiliki plaza dan rumah kedai atau arked yang disewakan kepada usahawan-usahawan bumiputera.