Jumlah Kes Covid-19 Di Sabah Terendah Sejak Julai

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 66 kes berbanding catatan semalam, menjadikan jumlah hari ini sebanyak 342 kes.

Advertisements

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata jumlah itu merupakan angka terendah sejak 15 Julai lepas.

*Daerah Kinabatangan mencatatkan kes tertinggi di negeri Sabah dengan catatan sebanyak 85 kes.

“Jumlah yang tinggi ini berpunca daripada Kluster Sawit Mania yang menyumbang 84 kes baharu.

“Kes-kes yang melibatkan Kluster Sawit Mania merupakan kes yang berlaku dua hari lepas tetapi baru direkodkan hari ini selepas pengesahan keputusan ujian,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.

Masidi berkata sebanyak 20 daerah di Sabah mencatatkan kes satu angka sahaja dengan lima daripadanya mencatatkan sifar kes.

“Enam daerah mencatatkan penurunan signifikan iaitu Kota Kinabalu -29 kes, Ranau -17 kes, Tuaran -16 kes, Beluran -14 kes, Penampang -13 kes dan Kota Belud -10 kes,” katanya.

Beliau berkata hanya tiga daerah di Sabah mencatatkan peningkatan kes baharu termasuk Kinabatangan yang mencatatkan pertambahan yang tinggi daripada Kluster Sawit Mania.

Empat lagi daerah kekal sebagaimana catatan semalam, katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles