RANAU: Semangat bergotong royong di kampung adalah amalan yang sudah menjadi tradisi dalam suasana hidup berkampung yang perlu diteruskan.
Kerana itu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam memuji kerjasama penduduk kampung yang terus komited untuk bersama-sama menjayakan kerja-kerja melibatkan pembangunan.
Katanya, aktiviti atau kerja-kerja baikpulih kerosakan jalan-jalan kampung, jambatan gantung dan pembinaan keperluan-keperluan asas sudah boleh dilaksanakan setelah negeri Sabah sudah pun memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Terima kasih kepada semua Ketua Kampung, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang komited dalam melaksanakan agenda-agenda pembangunan kampung yang tertangguh setelah sekian lama,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Joachim berkata, pihaknya akan terus komited dan jentera pentadbiran di kawasan amat memainkan peranan dalam memantau kerja-kerja pembaikan yang mendesak supaya rakyat dapat menikmati kemudahan asas, seiring dengan matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Kerja-kerja pemasangan kalbut di jalan utama Kampung Paka Ulu Sugut telah dilaksanakan secara bergotong-royong yang dikawalselia Ketua Kampung, kini sudah boleh digunakan dengan selamat,” katanya lagi.
Jambatan gantung yang sekian lama rosak di Kg. Togop Laut juga telah dibaiki sepenuhnya dibawah pengawasan Pemimpin Kampung, selamat digunakan untuk menyeberangi sungai ke tanah seberang.
Selain itu, tandas Balairaya di Kg. Manikulau juga telah selesai dibaiki yang diketuai Pengerusi JPKK.
Dr. Joachim juga mengingatkan penduduk kampung yang terlibat dalam apa-apa pembinaan di kampung masing-masing menjaga diri dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurutnya lagi, Pengerusi JPKK kampung boleh membuat permohonan peruntukkan untuk pembangunan di kampung masing-masing, pada awal tahun hadapan.
“Mereka hendaklah berbincang terlebih dahulu dengan penduduk kampung mengenai pembangunan yang perlu diutamakan. Permohonan tersebut boleh dimajukan kepada Pejabat Wakil Rakyat dan Pejabat Daerah Ranau.
p