JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) telah mengadakan lawatan ke dua kawasan berbeza di Johor Bahru, dekat sini pada Jumaat dan Sabtu (hari ini).
Mengetuai lawatan selama dua hari bermula Jumaat hingga Sabtu itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, dan Setiausaha Tetap KPLBS, Datuk Faimin Kamin.
Hari pertama diisi dengan melawat ke kilang Sacha Inchi Marketing Sdn Bhd.
Seterusnya mereka melihat sendiri bagaimana produk-produk asli berasaskan Sacha Inchi dihasilkan.
Manakala hari kedua pula diisi dengan mendengar penerangan ringkas mengenai syarikat dan produk mereka.
Sebelum itu, mereka juga dibawa melawat Syarikat Probase Manufacturing Sdn Bhd, sebuah syarikat pembinaan jalan berturap dikenali sehingga ke luar negara, yang berpangkalan di Johor.
Taklimat mengenai Sacha Inchi disampaikan oleh Pengarah Urusan Sacha Inchi Marketing Sdn Bhd, Owen Lem Kean Tai, sementara taklimat syarikat Probase disampaikan Pengurus Besarnya, Alex Ho.
Menurut Owen, tanaman dengan jangka hayat 15 hingga 20 tahun itu mampu mempunyai nilai pasaran tinggi untuk bahagian daun, kekacang dan akarnya yang dikatakan kaya dengan Omega 3, Omega 6 dan Omega 9.
“Pokok sacha inchi atau nama saintifiknya ‘plukenetia volubilis’ merupakan tanaman herba jenis saka yang kaya dengan vitamin A dan E,” katanya.
Terdahulu, Alex Ho turut memperkenalkan keupayaan syarikat yang mempunyai kepakaran tinggi dalam pembinaan dan penurapan jalan raya tersebut.
Lebih menarik, Pengarah Urusan Probase Manufacturing Sdn Bhd, Seow Cheng Soon, telah mengetuai lawatan ke jalan raya di kawasan Kampung Sungai Tiram, yang menggunakan teknologi mereka.
Ketika menutup sesi taklimat, Jahid menghargai sambutan dan layanan mesra kedua-dua syarikat berkenaan, dan menganggapnya sebagai peluang keemasan kerana dapat menimba pelbagai ilmu dan pengalaman berharga.
“Kita mengharapkan agar program ini mampu memberi input berguna kepada semua kakitangan terlibat untuk dijadikan panduan mereka di peringkat kementerian kelak,” katanya.