KOTA KINABALU: Tamu Besar Kota Belud pada 27 November ini bakal melakar sejarah tersendiri apabila ia diadakan dengan amalan norma baharu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang sedang dikuatkuasakan
Pegawai Daerah Kota Belud Diyana Abdullah berkata berbeza dengan sambutan Tamu Besar Kota Belud sebelum ini, acara kemuncak Tamu Besar pada tahun ini akan diadakan secara maya (live streaming) dengan kehadiran pengunjung ke program itu terhad.
Beliau berkata ini kerana Sabah masih lagi berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19.
“Kita masih mengikuti peraturan-peraturan atau larangan-larangan yang dikeluarkan oleh pihak MKN (Majlis Keselamatan Negara).Jadi Ini adalah untuk keselamatan kita bersama.
“Bagaimanapun, kita tidak mahu Tamu Besar ini pupus di minda rakyat khususnya orang Kota Belud. Kita masih juga adakan dengan norma baharu dan Inshallah tahun depan, Tamu Besar Kota Belud akan diadakan dengan lebih meriah lagi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Diyana berkata tamu mingguan dan program tahunan Tamu Besar Kota Belud merupakan antara tarikan pelancong di daerah itu, sama ada dari dalam atau luar negeri.
Katanya acara Tamu Besar Kota Belud turut dimuatkan dalam kalender pelancongan negeri Sabah.
“Keunikan Tamu Besar Kota Belud ini ialah ia amat lain daripada daerah-daerah lain di mana produk-produk tempatan yang dijual di tamu besar ini amat unik di mana ada yang tidak terdapat di daerah lain.
“Terdapat produk yang terlalu unik di mana hanya di Kota Belud sahaja yang ada produk yang dipamerkan di tamu besar ini,” katanya.
Diyana berkata para pengunjung Tamu Besar Kota Belud juga berpeluang menyelami budaya etnik daerah Kota Belud termasuk budaya suku kaum Bajau, Iranun dan Dusun yang semuanya boleh dilihat di Tamu Besar Kota Belud.
Diyana berkata pelbagai acara telah disusunatur sempena sambutan Tamu Besar Kota Belud tahun ini.
“Walaupun acara kemuncak hanya diadakan pada 27 November, namun acara-acara pengisian telah diadakan secara berperingkat di hujung minggu sejak awal bulan November lagi,” katanya.
Ini termasuk kuda berhias, lumba kerbau, pertandingan memancing, memasak makanan tradisional, pidato dan syair, katanya.
Diyana berharap rakyat Sabah khususnya penduduk Kota Belud dapat menyaksikan acara Tamu Besar Kota Belud yang disiarkan secara langsung atau live streaming di Facebook pada 25,26 dan acara kemuncak 27 November ini.