KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bagi mengemukakan Agenda Reformasi Sabah yang mencakupi agenda- agenda reformasi berkaitan:
(i) Autonomi Sabah dan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963
(ii) Tadbir Urus Menangani Pandemik Covid-19
(iii) Pelan Pemulihan Ekonomi Sabah
(iv) Reformasi Pentadbiran dan Politik
(v) Reformasi Dewan Undangan Negeri
(vi) Tadbir Urus Orang Asal Sabah
(vii) Tadbir Urus Keselamatan
Di dalam Agenda ini, PH Sabah mengemukakan syor-syor berkaitan belanjawan pemulihan ekonomi untuk diambil kira dalam Belanjawan Sabah 2022 yang akan dibentangkan pada 3 Disember 2021 termasuk penubuhan Majlis Pemulihan Ekonomi Sabah.
Agenda ini juga termasuk reformasi-reformasi yang perlu dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri Sabah bagi membolehkan tadbir urus demokrasi yang lebih progresif serta semak dan imbang yang lebih berkesan. Agenda ini juga mencakupi penggubalan Rang Undang-Undang Anti Lompat, Rang Undang-Undang Peruntukan Pembangunan Kawasan dan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi mengimbangi setiap kementerian yang ada di Sabah.
Agenda ini juga mencakupi antara lainnya syor untuk menubuhkan Tribunal Tanah, Jabatan Kehakiman Anak Negeri dan Yayasan Tanah Anak Negeri.
PH Sabah berpendapat bahawa Agenda Reformasi Sabah adalah sesuatu yang sudah lama tertangguh (long overdue) dan seharusnya menjadi agenda bersama kesemua parti politik dan penggubal undang-undang samada di blok Kerajaan mahupun Pembangkang.
PH Sabah mengalu-alukan komitmen dan jaminan Ketua Menteri untuk berbincang dengan parti-parti gabungan dalam Kerajaan bagi mendapatkan konsensus untuk sama-sama memperjuang dan menjayakan Agenda Reformasi Sabah ini.
PH Sabah juga ingin menegaskan bahawa Agenda Reformasi Sabah ini bukan Memorandum Persefahaman (MoU) seperti dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan, tetapi syor konsensus agar semua parti di Sabah bekerjasama memastikan hak rakyat Sabah diperjuangkan dengan sebaik- baiknya terutama menuntut pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan autonomi Sabah dalam bidang kesihatan, pendidikan, sumber semulajadi dan pengangkutan serta keperluan tadbir urus dalam negeri Sabah berkaitan imigresen, pendaftaran negara dan buruh.
PH Sabah juga turut mengalu-alukan kehadiran Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dalam pertemuan ini dan menghargai komitmen yang sama diberikan oleh beliau bagi menjayakan Agenda Reformasi Sabah ini.
Pengerusi PKR Sabah
CHRISTINA LIEW
Pengerusi DAP Sabah
POON MING FUNG
Pengerusi AMANAH
LAHIRUL LATIGU
Presiden UPKO
WILFRED MADIUS TANGAU