Majlis Khas MA63 Perakukan Beberapa Perkara Penting untuk dilaksanakan – Hanifah Hajar

 

KOTA KINABALU: Majlis khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (Majlis Khas MA63) telah memperakukan beberapa perkara penting untuk dilaksanakan.

Advertisements

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib berkata ini termasuk isu penyerahan Kuasa Kawal Selia Pengedaran Gas (LPG) kepada kerajaan negeri Sarawak.

Katanya ia telah selesai dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Jun 2021 dan telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak pada 9 September 2021.

Selain itu, katanya, Majlis Khas MA63 bersetuju supaya Perintah Kawasan Larangan dan Tempat Larangan bagi Pulau Sipadan dan Ligitan dibatalkan namun tanggungjawab berhubung keselamatan masih kekal di bawah kerajaan persekutuan.

Hanifah Hajar menjelaskan bahawa cadangan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2021 pula telah diperakukan oleh Majlis Khas MA63 pada 18 Oktober 2021 dan telah dibawa kepada Jemaah Menteri pada 21 Oktober 2021.

“Bacaan kali pertama dan bacaan kali kedua RUU adalah pada sidang mesyuarat Parlimen kali ini,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran).

Hanifah Hajar berkata turut diperakukan oleh Majlis Khas itu ialah Empowerment Pelesenan Laut Dalam Sabah.

Pelaksanaan empowerment Pelesenan Perikanan Laut Dalam Sabah itu dijangka akan mula dilaksanakan pada Disember 2021, katanya.

Katanya Majlis Khas juga bersetuju supaya kuasa yang sama juga dipanjangkan kepada Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak.

Di samping itu, beliau berkata terdapat juga isu-isu lain yang sedang dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Kerja yang ditubuhkan di bawah Majlis Khas MA63.

Ini termasuk semakan semula berhubung isu-isu pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak di bawah Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu; dan perkara berkaitan keselamatan negeri seperti isu sempadan negeri Sarawak, isu imigresen seperti IMM13, Burung-Burung, Kad Banci dan PATI di negeri Sabah di bawah Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah dan Sarawak, katanya.

Hanifah Hajar berkata turut diberi perhatian ialah keperluan inftastruktur asas di negeri Sabah dan Sarawak seperti jalan raya, air/elektrik, kesihatan, pendidikan, digital, kemiskinan dan perumahan rakyat di bawah Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi dan Semakan Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Persekutuan juga berharap supaya perkara tersebut dapat dimuktamadkan dengan kadar segera, katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles