KUALA LUMPUR:Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia
(MAQIS) hari ini melupuskan sitaan produk sejuk beku dengan cara serahan sumbangan bekalan makanan haiwan kepada enam (6) Jabatan dan Agensi berupa produk daging sejuk beku hasil
rampasan yang telah dilucuthakkan membabitkan kes dari September hingga Oktober 2021 sebanyak 11 tan bernilai RM106 ribu di Zoo Negara, hari ini.
Serahan sumbangan ini disempurnakan oleh Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan kepada Jabatan dan Agensi yang dimaksudkan antaranya pihak Zoo Negara, Penjara Marang Terengganu, Penjara Penor Kuantan Pahang, Penjara Pengkalan Chepa Kelantan,
Penjara Machang, Kelantan serta wakil dari National Wildlife Rescue Center (NWRC) Perak di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Secara keseluruhannya, setakat Oktober 2021, sumbangan seberat 146 tan produk daging sejuk
beku dengan nilai rampasan bernilai RM2.33 juta adalah produk yang dibawa masuk secara tidak sah dari pelbagai negara.
Kesemua serahan itu adalah hasil daripada sitaan terhadap pengimportan
keluaran pertanian yang telah melalui proses lucut hak di bawah kesalahan subseksyen 11 (1) dan
15 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
Turut hadir bersama-sama bagi menjayakan program MAFI Prihatin, YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul
Hamid, Ketua Setiausaha MAFI, Tuan Shamsul Akbar Bin Sulaiman, Ketua Pengarah MAQIS dan Dr. Azhari Sharidan bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah MAQIS.
Inisiatif sumbangan bekalan makanan haiwan di bawah program MAFI Prihatin ini diharap dapat membantu meringankan beban pihak yang terlibat dalam menampung sumber bekalan makanan
haiwan dan ternakan ikan dibawah seliaan mereka.
MAFI melalui MAQIS komited melaksanakan tanggungjawab sosial untuk membantu dan memberi
sumbangan kepada mana-mana agensi serta Jabatan yang memerlukan seperti pihak Zoo dan
pihak Penjara di mana sitaan tersebut akan dijadikan sumber makanan ternakan ikan keli bagi projek
rehabilitasi banduan di penjara serta sumber makanan haiwan di zoo dan pusat konservasi hidupan
liar.
MAFI tegas menguatkuasakan undang-undang negara dalam memastikan isu-isu yang melibatkan
aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan makhluk perosak dan penyakit merbahaya yang boleh mengancam sektor pertanian dan penternakan negara dapat
dibendung serta dikawal di kesemua pintu masuk negara.