KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya pada Isnin mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusuf Yacob kekal seorang ADUN Bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Kadzim berkata, ini kerana surat letak jawatan ADUN Sindumin dikemukakan Parti Warisan Sabah (Warisan) atau agennya pada 15 Oktober tidak efektif seperti yang diputuskan dalam kes duluan membabitkan Adun Sebatik.
Beliau berkata Dr Yusuf juga telah menghantar kepadanya akuan bersumpah dengan jelas menyatakan tiada niat untuk mengosongkan kerusi DUN di sebalik tindakannya keluar Warisan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kadzim berkata selepas meneliti kedua-dua dokumen berkenaan, beliau mendapati surat peletakan jawatan dikemukakan oleh Warisan yang dikatakan ditandatangani oleh Adun Sindumin adalah dengan sendirinya tidak efektif.
Pada 8 Oktober lepas, Dr Yusuf mengumumkan keluar daripada Warisan dan mengisytiharkan dirinya sebagai Adun bebas yang menyokong kerajaan GRS.