KOTA KINABALU: Umno perlu bersikap pragmatik dan menerima realiti bahawa tidak ada parti boleh memenangi pilihan raya secara sendirian, kata bekas Bendahari Umno Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Sebaliknya, Salleh yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia membayangkan pentingnya kerjasama dengan Muafakat Nasional yang menurutnya merupakan wadah yang berkesan dan berjaya.
“Demi masa depan, kita patut tumpukan perhatian untuk memperbaiki Muafakat Nasional untuk mendapatkan rakan kongsi baru untuk memastikan kestabilan politik yang berkekalan,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.
Dalam konteks Sabah, Salleh berkata Umno Sabah memilih bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membantu menstabilkan suasana politik di negeri ini.
“Kita (GRS) tetap fokus berkhidmat membawa kestabilan dan pembangunan untuk rakyat,” kata Salleh yang juga Pengerusi Kelab Penyokong GRS.
GRS membentuk kerajaan di Sabah selepas gabungan itu memperoleh majoriti mudah iaitu 37 kerusi daripada 73 yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri tahun lepas.
GRS dianggotai Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).