Sabah FC Dapatkan Khidmat Kim Swee Untuk Bantu Kembalikan Era Kecemerlangan – Bung

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin berazam untuk memacu pembangunan bolasepak negeri ke arah masa depan yang lebih gemilang.

Advertisements

Katanya ini selaras dengan wawasan SAFA untuk mengembalikan era kecemerlangan pasukan bolasepak Sabah sebagai antara pasukan terbaik dan disegani di negara ini.

Bagi maksud itu, Bung berkata SAFA telah memutuskan untuk mendapatkan khidmat Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ong Kim Swee untuk mengemudi Sabah FC.

Beliau berkata walaupun SAFA tidak meletakkan sasaran khusus untuk Kim
Swee, namun pihaknya berharap pasukan Sabah kembali menyerlah setanding dengan pasukan negeri-negeri lain.

“Tahniah kepada Datuk Ong Kim Swee dan kita harap pasukan Sabah akan bergerak ke depan dan bukan lagi jadi pasukan belasahan….kita akan bangkit daripada kejatuhan,” katanya.

Bung berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Kontrak antara Sabah FC dan Datuk Ong Kim Swee di Kota Kinabalu pada malam Jumaat.

Sementara itu, Kim Swee menyifatkan pelantikannya sebagai ketua jurulatih pasukan Sabah FC sebagai satu tanggungjawab besar.

Meskipun tidak meletakkan sasaran yang tinggi, beliau berjanji akan memberi “kelainan” daripada segi mutu permainan Sabah FC.

“Matlamat kita ialah untuk menjadi pasukan yang lebih baik dan disegani terutama dalam saingan Liga Super 2022 dan seterusnya,” katanya.

Kim Swee berkata beliau juga bersedia membantu SAFA untuk mencungkil bakat-bakat baharu terutama di kalangan pemain remaja di negeri ini.

Pada 10 September lalu, Sabah FC mengumumkan Kim Swee sebagai pengendali baharu menggantikan jurulatih dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto yang direhatkan susulan kemerosotan prestasi pasukan itu dalam saingan Liga Super.

Berasal dari Melaka, Kim Swee memulakan karier kejurulatihan bersama negeri kelahirannya sebelum berkhidmat bersama FAM selama 14 tahun bermula 2007 dengan pelbagai jawatan disandang, antaranya ketua jurulatih skuad B-16, skuad B-17, Harimau Muda, skuad B-22 dan skuad kebangsaan.

Antara koleksi kejuaraan diraih sepanjang membimbing pasukan negara adalah juara Piala Belia 2007, juara Liga Perdana 2009, pingat emas Sukan SEA 2011 dan juara Pestabola Merdeka 2013.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles