KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan optimis kerajaan negeri akan mencapai sasaran 80 peratus penduduk mendapat vaksinasi Covid-19 pada bulan November ini.
Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan sambutan orang ramai yang amat menggalakkan terhadap program vaksinasi yang dilaksanakan oleh kerajaan setakat ini.
Menurutnya keputusan kerajaan membenarkan remaja, berumur antara 12 tahun dan 17 tahun, untuk menerima vaksin adalah tepat pada masanya dan wajar disokong oleh semua pihak.
Beliau juga yakin, apabila sasaran 80 peratus imuniti kelompok itu dicapai, semua sektor termasuk aktiviti ekonomi akan dibuka semula, sekaligus memberi kebaikan kepada semua pihak.
Yakub berkata demikian selepas meninjau program vaksinasi Covid-19 di Pulau Sepanggar, berhampiran bandaraya Kota Kinabalu hari ini.
Beliau berkata lebih 100 penduduk pulau Sepanggar, termasuk golongan remaja, menyertai program vaksinasi itu.
Yakub turut menasihatkan orang ramai terutama yang tinggal di kawasan Karambunai supaya tampil ke hadapan untuk mendapatkan vaksin, sekali gus membantu mempercepatkan proses kembali hidup seperti dulu.
Menurutnya dianggarkan 80 hingga 90 peratus penduduk DUN Karambunai sudah divaksin.