KOTA KINABALU: Pandemik COVID-19 bukan saja mengancam nyawa dan tahap kesihatan, tetapi mengubah sama sekali cara dan gaya hidup manusia di seluruh dunia termasuklah di negara kita.
Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata ancaman wabak yang belum berakhir itu telah mengubah gaya hidup namun masing-masing perlu menyiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk kelangsungan kehidupan seterusnya.
Beliau berkata perubahan dalam cara hidup bukan lagi satu pilihan kepada rakyat kita yang turut terjejas teruk angkara virus berbahaya itu.
“Negara kita dan seluruh dunia kini sedang berjuang dengan pandemik Covid-19. Wabak Covid-19 telah mengubah norma dan amalan biasa dalam aspek kehidupan kita.
“Kita hendaklah menjadi lebih inovatif, kreatif dan dinamik serta berupaya menyesuaikan diri dari segi corak pemikiran, gaya hidup serta budaya kerja agar lebih relevan dengan keadaan dan keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perasmian penutupan Webinar Menyantuni Rakyat Akar Umbi anjuran Biro Pembangunan Wanita dan Hubungan Ngo Srikandi Bersatu Sabah hari ini.
Kira-kira 80 penyertaan terdiri ahli-ahli Srikandi, persatuan dan badan bukan kerajaan.
Azizah yang juga merupakan Ahli Parlimen Beaufort menambah banyak input dan bantuan-bantuan kerajaan yang telah dikongsikan oleh para penceramah jemputan.
Beliau menyeru para peserta mengambil peluang ini sebaik mungkin dan kongsikan kepada mereka yang memerlukan.
“Suka juga saya tekankan, pemimpin peringkat akar umbi disarankan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira ideologi politik.
“Bagi memastikan setiap kemudahan yang disalurkan oleh kerajaan dapat dinikmati semua masyarakat di pelbagai peringkat tanpa ada yang terpinggir”katanya.
Tambah beliau sikap pilih kasih perlu diketepikan agar tiada lagi persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan yang memerintah.
Jelasnya pemimpin akar umbi perlu bijak menilai status penerima. Biar mereka yang benar-benar layak disenaraikan sebagai bakal penerima, bukannya seorang yang mampu dan ada kaitan dengan pemimpin kawasan, nama dimasukkan sebagai penerima, itu tidak wajar.
“Kita juga perlu sentiasa berpegang kepada prinsip bekerja sebagai satu pasukan “Team Work” dan bukan bergerak secara sendiri-sendiri. “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Tanpa pasukan yang mantap tidak mungkin kita mampu
melaksanakan gerak kerja dengan baik.
“Begitu juga tanpa pasukan tidak mungkin kita dapat menahan asakan-asakan parti lawan yang sentiasa cuba mencari kelemahan kita. Satu elemen yang penting ialah ahli parti perlu terus memperkasa gerak kerja memberi penerangan kepada kumpulan sasaran” ujarnya lagi.
Hadir sama Naib Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Amisah Yassin dan tiga penceramah jemputan Dr Hajah Ananglanka Madkassim seorang Kaunselor Bebas, Noor Azah Abdul Rahman
(Peguam) dan Dayang Rogayah Ag Besar (Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah).