KOTA KINABALU:The Skybridge Kota Kinabalu yang dilengkapi Jejantas berbumbun dan eskalator dibuka kepada orang awam hari ini.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Noorliza
Awang Alip berkata jejantas Skybridge sepanjang 400 meter itu merupakan sebahagian daripada Projek Skybridge Pedestrian Linkages and Traffic Improvement Works.
Katanya projek bernilai RM 31.5 juta itu merangkumi beberapa komponen termasuk jejantas Skybridge yang dilengkapi dengan 20 kiosk niaga berhawa dingin, eskalator dan lif untuk golongan kelainan upaya
Ia juga mencakupi pembaikan Jalanraya, lntasan Pejalan Kaki, Menaiktaraf bulatan menjadi persimpangan dengan lampu isyarat, Laluan Pejalan Kaki Berbumbung dan Lampu Jalan.
Turut termasuk dalam pakej projek tersebut ialah peningkatan landskap dan hiasan jalan, katanya dalam satu kenyataan di sini.
Noorliza berkata syarikat pemaju telah membiayai projek di atas melalui peruntukan Dana Mudahcara daripada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).
Bagaimanapun, beliau berkata pada tahun 2018 syarikat pemaju telah digulungkan dan akibat daripada penggulungan tersebut Dana Mudahcara telah dibatalkan oleh UKAS.
“Apabila Dana Mudahcara telah dibatalkan, projek tersebut terbengkalai.
Demi kepentingan awam, DBKK telah mengambil inisiatif untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Negeri Sabah bagi menyiapkan projek ini.
“Atas keprihatinan kepada rakyat, Kerajaan Negeri Sabah bersetuju membiayai projek tersebut atas dasar perkongsian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan iaitu 50%-50%,” katanya.
Noorliza berkata jumlah peruntukan yang diluluskan untuk menyiapkan infrastruktur dan kerja-kerja yang belum disiapkan adalah sebanyak RM4.7 juta.
Jejantas Skybridge itu menghubungkan Pusat Komersial Api-Api, Pusat Membeli Belah Centre Point, Pusat Komersial Warisan Square dan Oceanus Waterfront.
Sementara itu, katanya pintu masuk ke-7 iaitu pintu masuk Centre Point belum dibuka kerana pihak Centre Point sendiri semasa fasa pembinaan telah menyatakan hasrat untuk membina sendiri tangga dan laluan masuk dalam tempoh enam bulan selepas pembangunan Jejantas Skybridge siap keseluruhannya.
Dalam akujanji yang dikeluarkan oleh pihak Centre Point juga menyatakan mereka akan menanggung sendiri kos pembinaan berkaitan,” katanya.
Noorliza berkata DBKK berharap Jejantas SkyBridge itu bukan sahaja dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna tetapi juga membantu menyediakan kemudahan perniagaan untuk mereka yang berminat.
Borang tawaran untuk menyewa lot-lot berkaitan akan diedarkan dalam masa terdekat.
Katanya DBKK juga mengharapkan agar para pengguna sentiasa menjaga kebersihan serta tidak menyalahgunakan kemudahan yang disediakan.