Sudah Tiba Masa Malaysia Merdeka daripada Covid-19 – Salleh

KOTA KINABALU: Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata sudah tiba masanya Malaysia merdeka daripada ancaman Covid-19.

Advertisements

Oleh itu, beliau berharap kabinet baharu Persekutuan yang mengangkat sumpah jawatan semalam dapat merealisasikan harapan jutaan rakyat negara ini dengan memfokuskan usaha kepada menyelesaikan masalah pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi.

“Kita harus menerima hakikat…kita dalam keadaan teruk sekarang (akibat pandemik Covid-19 dan kesan kepada ekonomi).

“Dan kabinet baharu ini seharusnya dianggap kabinet krisis. Jangan kita terlalu berfikir benda yang jauh. Kita fokuskan usaha kepada soal mengatasi Covid-19 dan pemulihan ekonomi,” katanya.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika menjadi tetamu ruangan bual bicara secara maya di Bernama TV Sempena Majlis Mengangkat Sumpah Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan semalam.

Beliau juga menyeru semua pihak supaya tidak ‘terlalu banyak bermain politik’.

“Kurangkan bermain politik atau terlalu banyak publisiti. Rakyat sudah bosan…tetapi hasil tidak ada. Umpama mendung tetapi tiada hujan.

‘Sebaliknya kita perlu melaksanakan apa yang diputuskan. Saya lihat pada masa dahulu, terlalu ramai jurucakap tetapi pelaksanaan SOP ‘double standard’…rakyat kena, orang besar ada yang tidak kena (ambil tindakan). Rakyat melihat sesuatu yang tidak betul,” katanya.

Salleh berharap perkara seumpama itu tidak berulang demi kebaikan bersama.

Beliau juga menzahirkan keyakinan kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu mencapai sasaran imuniti kelompok .

“Ini lah yang kita mahu…agar kita balik hidup seperti dahulu,” katanya.

Katanya selepas menyelesaikan masalah Covid-19 dan ekonomi, “kita serah balik kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka suka”.

Ini selaras dengan amalan demokrasi yang dipraktikkan di negara ini, katanya.

“Rakyat akan menilai tindakan yang kita ambil….Perdana Menteri yang lalu pernah berkata selepas kita menyelesaikan masalah Covid-19, kita akan adakan pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Salleh menyambut baik pelantikan dua menteri dan empat timbalan menteri dari Sabah dalam barisan kabinet baharu Persekutuan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles