Vaksinasi Telupid berjalan lancar, semoga kembali ke Zon Hijau: Felix

665

TELUPID: Seramai 23,801 orang atau 65.93 peratus daripada jumlah penduduk Telupid telah menerima suntikan dos pertama Vaksin Covid-19, setakat rekod kemarin.

Ketua Pemuda Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Felix Joseph Saang berkata, daripada jumlah itu 14,469 orang atau 40.08 peratus komuniti Telupid telah menerima vaksin lengkap.

“Ini petanda baik, dan jika program vaksinasi berjalan lancar, Telupid akan dapat mencapai 80 peratus komuniti kelompok di kalangan populasi orang dewasa tidak lama lagi.

“Kami berharap daerah Telupid akan berubah menjadi zon hijau,” katanya.

Pada masa ini, semua daerah di Sabah masih berada dalam zon merah sementara Telupid mencatat dua digit sejak beberapa minggu kebelakangan ini yang kebanyakannya dikesan daripada saringan kontak rapat.

Sehubungan itu, Felix menyeru masyarakat Telupid supaya segera mendapatkan suntikan vaksin dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengawal penularan virus.

“Kita perlu memahami bahawa mendapatkan vaksin bukanlah lesen untuk tidak mematuhi SOP. Kelmarin, Sabah mencatatkan 2,474 kes jangkitan baru.

“Daripada jumlah itu, 896 kes adalah dari kalangan penduduk yang belum menerima vaksin, 496 kes menerima 1 Dos dan sebanyak 378 kes lengkap menerima dua dos vaksin. Ini menunjukkan bahawa kita perlu mengamalkan disiplin diri dan mematuhi SOP.

“Kita tidak boleh cuai kerana walaupun kita sudah divaksin, kita masih berpotensi membawa virus dan boleh menjangkiti orang di sekitar kita,” katanya.

Beliau juga berharap Perdana Menteri Malaysia ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan meningkatkan usaha dalam memerangi wabak Covid-19.

Sementara itu, Felix yang juga merupakan Ketua Bahagian UPKO Beluran bersama bersama sukarelawan Wanita UPKO menyerahkan bantuan makanan kepada mereka yang menjalani kuarantin di Pusat Rawatan Kuarintin dan Risiko Rendah (PKRC) Covid-19 di Klinik Kesihatan Telupid.

“Kami berharap sedikit bantuan ikhlas ini dapat mengurangkan beban mereka dan berharap mereka segera sembuh sepenuhnya,” katanya sambil mengucapkan terima kasih atas kerja keras pasukan kesihatan Telupid yang diketuai oleh Dr. Azri Ramli selaku pegawai kesihatan daerah Telupid.

Kelmarin, Telupid mencatatkan sebanyak 15 kes baharu positif Covid.