ESSCOM Tembak Mati Dua Lelaki Disyaki Anggota Abu Sayyaf

KOTA KINABALU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dengan kerjasama Polis Sabah berjaya menembak mati dua lelaki disyaki ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf (ASG) di Pulau Timbang, Sandakan, awal hari ini.Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata kedua-dua lelaki berkenaan maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi khas bagi memburu kumpulan itu pada kira-kira 5 pagi.

Advertisements

Beliau berkata pasukan keselamatan yang diterajui oleh ESSCOM turut merampas senjata api yang digunakan oleh kedua-dua suspek di lokasi kejadian.

Dalam sidang media di Sandakan, Hazani berkata kejayaan itu susulan daripada maklumat operasi khas di Taman Sri Arjuna, Beaufort, 8 Mei lalu.

Katanya berdasarkan maklumat itu, pasukan keselamatan ESSCOM menjalankan operasi bagi mengesan beberapa lagi saki baki ahli kumpulan pengganas itu.

“Kita percaya kedua-dua mereka anggota Kumpulan Abu Sayyaf dan serpihan kumpulan militan Abu Sayyaf yang ditahan di kawasan paya bakau, berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort,” katanya.

Susulan kes 8 Mei itu, Hazani berkata siasatan terus giat dijalankan oleh ESSCOM dengan kerjasama polis sebelum lima lagi ahli kumpulan pengganas terbabit berjaya ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan di lokasi sama di Beaufort pada 17 Mei lalu.

Hasil maklumat itu, Hazani berkata pasukan keselamatan menjalankan beberapa operasi bagi mengesan dan menjejaki beberapa lagi ahli kumpulan berkenaan.

Pegawai dan anggota keselamatan akhirnya berjaya mengesan dua lagi ahli kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Timbang, Sandakan.

Semua pegawai dan anggota keselamatan yang menjalankan operasi berkenaan berada dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Hazani berkata gerakan memburu saki baki anggota kumpulan Abu Sayyaf di negeri ini akan terus diperhebatkan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles