Jahid Jahim Otai Cetuskan Idea Tambah Nilai Populariti “Jambatan Tamparuli” Setara Tower Bridge

TUARAN: Kota London dan San Francisco masing-masing terkenal dengan Tower Bridge dan Golden Gate, Sabah pula memiliki tarikan tersendiri jambatan gantung Tamparuli atau lebih dikenali sebagai “Jambatan Tamparuli”.

Advertisements

Biarpun masih jauh ketinggalan daripada segi populariti berbanding Tower Bridge dan Golden Gate, usaha bersepadu ke arah itu sedang giat dilaksanakan.

Otai yang bertanggungjawab mencetuskan idea pembaharuan untuk menambah nilai atau melonjakkan populariti Jambatan Tamparuli sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia – tidak lain dan tidak bukan ialah ADUN Tamparuli Datuk Jahid Jahim.

Pada mulanya Jambatan Tamparuli dilihat hanya salah satu jambatan kayu yang hampir sama dengan jambatan gantung lain yang ada di Sabah.

Namun jambatan gantung yang merupakan antara terpanjang di Sabah itu semakin popular, dengan terciptanya lagu Jambatan Tamparuli dendangan Justin Lusah, yang kini menjadi lagu kegemaran bukan sahaja buat kaum KadazanDusun tetapi juga pelancong terutama yang pernah mengunjungi jambatan tersebut.

Melihat potensi Jambatan Tamparuli, Jahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah telah berusaha untuk “mencantikkan” jambatan itu.

Yang terbaharu, sepanjang tiang Jambatan Gantung Pekan Tamparuli itu dihiasi “Lukisan Mural” bercorak etnik Sabah yang dijangka akan memberi nilai tambah kepada daerah kecil Tamparuli.

Menurut Jahid, ‘mural drawing’ bercorak tempatan di sepanjang tiang Jambatan Gantung Pekan Tamparuli, bakal memberi wajah baharu kepada Tamparuli sebagai tarikan kepada pengunjung terutama pelancong yang menjadikan Tamparuli sebagai laluan ke Taman Kinabalu, di Kundasang.

Beliau berkongsi wawasannya untuk DUN Tamparuli semasa membuat Lawatan Kerja bagi meninjau projek melukis mural di Jambatan Gantung Pekan Tamparuli, kira-kira 36 Kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu pada Jumaat.

Katanya, walaupun Tamparuli dan jambatannya sering menjadi “siulan” di pelusuk negara, malah di seluruh dunia, namun beliau merasakan ianya belum cukup untuk memperkenalkan Tamparuli, dan masih perlu untuk diberi nilai tambah.

Justeru, langkah mencantikkan kawasan jambatan gantung itu dengan lukisan mural, dilihat amat bersesuaian.

Jahid berkata idea tersebut muncul selepas beliau bertemu dengan sekumpulan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tamparuli, Ketua Kampung, Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) yang mana akhirnya mencetuskan perbincangan tersebut yang menjurus kepada mercu tanda Tamparuli.

“Pada asalnya, kami telah berbincang untuk mencari apakah mercu tanda yang boleh kita perkenalkan untuk kawasan Tamparuli,” katanya.

Hasil perbincangan tersebut akhirnya diterjemahkan menerusi pelaksanaan projek lukisan mural berkenan yang juga merupakan salah satu langkah bagi menceria serta mengindahkan lagi kawasan yang terdapat di Tamparuli.

“Kita telah berusaha mencari peruntukan, kita berusaha mencari pelaksana, dan akhirnya sudah mulai kelihatan fasa pertama,”.

Tambahnya, kini kerja-kerja bagi fasa pertama lukisan mural itu sedang giat dilaksanakan dan bakal beralih pula ke tiang berikutnya bagi fasa kedua.

Beliau berharap dengan terlaksananya lukisan mural itu akan dapat mencapai matlamat mereka untuk mewujudkan satu mercu tanda bagi pekan Tamparuli dan daerah itu secara keseluruhannya.

Selain itu, lukisan itu juga bakal memperlihatkan perpaduan kukuh dalam kalangan masyarakat yang terdapat di Tamparuli.

Menariknya, corak lukisan mural di semua tiang tersebut memaparkan motif budaya suku kaum yang terdapat di Tamparuli seperti Dusun, Bajau, Cina, Lotud dan lain-lain.

Jelas Jahid melaksanakannya bukanlah sesuatu yang mudah, kerana di samping mengutamakan aspek keselamatan, juga memerlukan penelitian khusus terutama melibatkan pemilihan corak-corak berkenaan.

Dalam pada itu, selain lukisan tersebut, tugu peringatan tentera Australia yang terdapat di pekan Tamparuli dan cerita mengenai lagenda Solungkoi yang terkorban di Jambatan Tamparuli juga akan diambil kira di dalam fasa seterusnya nanti bagi menarik kehadiran pelancong untuk mendapat peluang persinggahan yang berkualiti di situ.

“Bila ramai pelancong datang ke sini, tempias ekonominya itu tentu ada sekaligus, asal ada pelancong, tempias ekonomi mesti ada, peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan segala-gala yang berkaitan,” ujar beliau.

Justeru, beliau mengharapkan agar masyarakat menerima baik usaha kecil bagi memajukan kawasan Tamparuli tersebut, selain peningkatan ekonominya kelak.

“Saya mengharapkan lepas Pandemik Covid-19 ini perlahan-lahan berlalu, bila pelancong mula datang ke sini, kita mengharapkan ada ledakan ekonomi yang boleh menokok tambah apa-apa yang sedia ada di sini,” tambahnya.

Jahid berkata projek mencantikkan Jambatan Tamparuli merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperhebatkan lagi program pembangunan di DUN Tamparuli khususnya daripada segi pelancongan dan ekonomi.

Hadir sama meninjau perkembangan projek lukisan tersebut ialah Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tuaran, Jamlin Ladin, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, dan Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar serta para pemimpin masyarakat di sekitar Tamparuli dan Tuaran.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles