BELURAN: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) mengajak semua rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang agama agar bersama-sama mengibarkan jalur gemilang sama ada di rumah atau di premis masing-masing untuk menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr. Jamaluddin Mohd Ali berkata sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian, rakyat perlu kibarkan jalur gemilang sebagai menghargai perjuangan dan solidariti kepada perajurit-perajurit negara yang telah berkorban jiwa dan raga semata-mata untuk membebaskan tanah air tercinta daripada cengkaman penjajah.
Beliau berkata tanpa pengorbanan dan perjuangan perajurit-perajurit terdahulu, sudah tentu rakyat tidak akan dapat menikmati hidup aman damai seperti yang dikecapi pada hari ini.
“Kita telah mengecapi nikmat keamanan dan keharmonian pada hari ini adalah hasil daripada perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan kita yang lalu.
“Kibarkan jalur gemilang sebagai tanpa penghargaan dan terima kasih kita kepada jasa dan pengorbanan mereka (perajurit-perajurit) disamping menunjukkan semangat taat setia dan patriotisme kita yang tidak berbelah kepada negara kita yang tercinta ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen kibar jalur gemilang di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Sapi Nangoh, di sini hari ini.
Mengulas mengenai program pagi tadi, ESSCOM dengan kerjasama Batalion 20, Pasukan Gerakan Am (PGA), Beluran telah mengambil inisiatif untuk melancarkan kempen kibar jalur gemilang di peringkat Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP), Sapi Nangoh.
Tambahnya lagi, kempen seumpama itu akan diperluaskan ke pos-pos keselamatan di kawasan ESSZONE.
“Semangat ini perlu dizahirkan sebagai tanda sokongan kita kepada kepimpinan negara dan barisan hadapan kita yang sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang telah meragut banyak nyawa.
“Kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, kita perlu bersatu padu dan bersama-sama dengan barisan kepimpinan negara memerangi pandemik ini dengan menterjemahkan solidariti kita dengan mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan, sentiasa menjaga kebersihan diri dan memakai alat pelitup muka serta jangan mengunjungi tempat-tempat sesat yang memungkinankan jangkitan wabak ini akan berlaku.
“Kejayaan negara dalam memerangi wabak covid-19 ini, banyak bergantung kepada sokongan dan kerjasama rakyat secara keseluruhannya.
“Tanpa sokongan dan kerjasama padu rakyat secara menyeluruh amatlah sukar bagi pihak kerajaan khasnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggerakkan usaha untuk memerangi wabak ini,” katanya.