KOTA KINABALU: UMNO Sabah sekali lagi mengulangi pendirian untuk terus kekal dan menyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berikutan keadaan politik yang bergolak di Semenanjung Malaysia.
Menurut kenyataan Umno Sabah yang dikeluarkan lewat malam Jumaat, Badan Perhubungan Umno Negeri berharap pendirian itu dihormati oleh semua pihak demi kestabilan, keharmonian dan kemakmuran rakyat dan negeri Sabah tercinta.
Kenyataan itu berkata UMNO Sabah menjunjung kasih di atas titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara supaya semua pihak menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.
Seperti termaktub di bawah Fasal 3 Perlembagaan UMNO, semua saf kepimpinan serta ahli UMNO Sabah menumpahkan sepenuh taat setia kepada Raja-Raja Melayu dan berikrar untuk terus mendukung dan memayungi Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan Negeri- Negeri.
Sehubungan itu, UMNO Sabah berharap agar kemelut politik di Semenanjung Malaysia dapat diselesaikan secara berhemah, harmoni dan bijaksana demi kemaslahatan negara dan rakyat.
“Sebagai adik bongsu berautonomi kepada UMNO Malaysia, apa jua keputusan dan ketetapan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti akan sentiasa dihormati dan diakuri oleh UMNO Sabah dan disesuaikan dengan kuasa autonomi UMNO Sabah,” kata kenyataan itu.
Sebab itu, Umno Sabah menegaskan bahawa mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah kepada UMNO Sabah di dalam Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN-16) yang lepas akan dihormati, diperkukuh dan dimatangkan.