KOTA BELUD: Seorang lelaki melecur di bahagian pergelangan kaki dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah dan kilang memproses lekor di Kampung Kuala Abai, dekat sini hari ini.
Menurut kenyataan Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, mangsa itu dikenali sebagai Saidin Martin berumur 53 tahun.
Kenyataan itu berkata pihak Bomba yang menerima panggilan kecemasan sekitar 9.59 pagi mengerahkan sembilan pegawai pelbagai pangkat dengan dua jentera ke tempat kejadian.
Kebakaran itu berjaya dikawal pada pukul 10.50 pagi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala jumlah kerugian masih disiasat.