KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan optimis usaha pasukan Skuad N8 DUN Pintasan dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) mampu mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus imuniti kelompok di kawasan itu menjelang Oktober ini.
“Kita di DUN ini banyak kampung-kampung yang memang terletak di lokasi sangat pedalaman, susah pergerakan bagi warga-warga dan pelbagai kekangan lain seperti tidak memiliki telefon pintar dan MySejahtera untuk mendaftar bagi menerima suntikan vaksin COVID19.
“Atas inisiatif itu, kita nekad untuk membawa seramai mungkin penduduk kita untuk diberikan vaksin di kawasan-kawasan mereka, kerana saya seboleh-bolehnya mahu semua rakyat di DUN ini menerima dos suntikan lengkap sebelum Oktober,” katanya.
Fairuz berkata demikian semasa hadir dalam Program Outreach Vaksinasi COVID-19 bagi DUN Pintasan di Sekolah Kebangsaan Dudar, hari ini.
Menurut Fairuz, lokasi itu dipilih kerana berada di tengah-tengah bagi beberapa kampung yang terlibat.
“Kita sasarkan hari ini, untuk dapat memberikan vaksin kepada 1,200 penduduk yang kita telah ambil maklumat mereka, yang mana terdiri dari warga emas dan ada juga golongan muda.
“Lokasi ini agak jauh dari Pekan Kota Belud, dan kita turut menyediakan pengangkutan dan servis penghantaran serta mengambil penduduk kampung untuk mereka hadir ke lokasi ini, sekaligus mendapatkan suntikan vaksinasi COVID19,” katanya.
Dalam pada itu, Fairuz yang juga merupakan Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima lebih daripada 5,000 pendaftaran untuk vaksinasi COVID19 bagi seluruh kawasan DUN Pintasan.
“Daripada ini, kita sudah selesai memberikan kepada lebih 4,000 penerima, termasuk yang menerima vaksinasi pada program hari ini.
“Semoga usaha ini dapat dijayakan seiring dengan target kita mencapai perlindungan komuniti kelompok serta melenyapkan risiko penyebaran dan penularan pandemik COVID19 dalam masyarakat kita,” jelasnya.
Fairuz juga berkata tidak ada apa yang perlu dibimbangkan untuk menerima vaksin kerana vaksin yang diberikan adalah selamat dari segi kandungan bahan-bahannya dan halal di sisi syarak.
“Kepada yang belum mendaftar untuk menerima vaksinasi COVID19, daftarlah kerana vaksin kita selamat, jangan takut dan jangan risau, insyaAllah.
“Usah terpengaruh dengan penyebar maklumat tidak sahih tentang vaksin yang mana mereka sendiri adalah golongan anti vaksin dan hanya menjadi pihak yang tidak bertanggungjawab kerana menimbulkan panik serta kebimbangan yang tidak wajar dalam komuniti kita,” tambah Fairuz lagi.