Ahmad Zahid Gariskan Sebab Umno Kekal Sokong Pembentukan Kerajaan PN

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggariskan beberapa sebab mengapa parti itu terus kekal menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi mendesak Perdana Menteri meletak jawatan.

Advertisements

Menurutnya persoalan itu dijadikan propaganda pasukan siber anti-UMNO sedangkan perkara itu bukanlah suatu perkembangan baharu.

Ahmad Zahid berkata UMNO sejak lama konsisten dalam hal ini dan Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengulanginya pada Jumaat.

Sambil mengumpamakan kerajaan PN sebagai sebuah kapal, beliau berkata
kapal tersebut perlu belayar mengikut hala tuju ditetapkan oleh nakhoda.

“Tugas para kelasi melayarkan kapal mengikut haluan itu. Jika nakhoda tersilap hala tuju maka kapal gagal ke destinasi.

“Maka untuk memperbetulkan kapal kembali ke laluan sebenar dengan menggantikan kepada nakhoda yang berkemampuan.

“Begitu juga dengan perihal kerajaan. Sebuah kerajaan diketuai oleh Perdana Menteri. Individu yang berkuasa menentukan pentadbirannya,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Sebab itu, Ahmad Zahid berkata UMNO konsisten mahu Perdana Menteri diganti.

“Nakhoda perlu ditukar supaya kerajaan yang telah gagal kembali ke landasan rakyat dan negara,” katanya.

Pada 7 Julai lepas, beliau berkata UMNO memutuskan menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri.

“UMNO minta Perdana Menteri digantikan demi kepentingan rakyat dan negara serta kedaulatan institusi raja-raja.

“Selepas penularan pandemik berjaya diatasi, Perdana Menteri baharu akan segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan PRU-15,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles