Abdul Aziz, Jangan Jadi Batu Api – Fairuz

FAIRUZ

KOTA KINABALU: Ketua Armada Bersatu Negeri Sabah, Fairuz Renddan menyelar kenyataan lantang Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain yang menuntut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan dan memintanya berhenti menjadi batu api.

Advertisements

“Alasan beliau apa? Untuk tanggungjawab moral kerana gagal menghayati prinsip Rukun Negara ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’ dan ‘Keluhuran Perlembagaan’.

“Sebelum menunding jari kepada pemimpin lain khasnya Perdana Menteri, adakah beliau (Ir. Abdul Aziz) sendiri menghayati dan memahami adab dan moral?,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Terdahulu, Ir. Abdul Aziz dalam satu kenyataan, turut menyeru Ahli-Ahli Parlimen UMNO, menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan pemegang jawatan GLC untuk menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan meletakkan jawatan serta merta, tidak berkompromi dan derhaka kepada Raja.

Ini berikutan kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara semalam yang menzahirkan rasa dukacita Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong susulan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai berhubung pembatalan semua Ordinan Darurat yang dimasyurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat, meskipun belum lagi diperkenankan oleh Baginda.

“Jika Menteri tersebut (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Palimen & Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah memberikan kenyataan yang tidak tepat dan mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat, maka sudah pasti itu adalah di atas kapasiti beliau sendiri dan adalah tidak wajar jika segalanya dikaitkan dan dilemparkan kesalahan serta hukuman kepada pimpinan Perdana Menteri.

“Jika kita di sini ingin menyokong ke arah kemaslahatan bersama, keharmonian negara dan rakyat, adalah wajar semua pihak bekerjasama dan bukan hanya membangkitkan isu menarik sokongan terhadap kerajaan PN, menggesa PM letak jawatan, menyeru ahli parlimen dari parti masing-masing tarik sokongan, letak jawatan dan sebagainya.

“Pada saat ini, keutamaan adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara, sesuai dengan titah Baginda dan saya kira, tidak wajar beliau (Ir. Abdul Aziz) memainkan isu ini dan menjadi duri dalam daging, merosakkan penyatuan PN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mana UMNO juga merupakan antara rakan sekutu dalam pentadbiran,” kata Fairuz lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu juga menegaskan bahawa seorang pemimpin yang berwibawa adalah yang memberi buah fikiran dan tenaga untuk rakyat di kala semua dihimpit masalah akibat kemelut pandemik COVID19.

“Kalau kawan kita tu (Ir. Abdul Aziz) rasa beliau ada ciri-ciri seorang pemimpin muda yang berjiwa rakyat, ayuh sama-sama, jom ikut kita turun padang, lawat rakyat di semua kawasan, kita beri sumbangan, ramai rakyat kita dihimpit masalah kekurangan wang, hilang pekerjaan dan tiada makanan.

“Jika dia sanggup, ayuh bersama-sama ikut team saya, kita beramai-ramai turun lawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV), kita bantu sukarelawan di sana yang bersusah payah mengurus kelancaran di PPV, beri sumbangan dan penghargaan kepada mereka, jika masih tidak cukup dan terlalu banyak masa lapang, boleh ikut saya turut lawat kawasan saya juga, kita tengok di kawasan kampung-kampung, kita ajak semua rakyat, ambil maklumat mereka dan daftarkan mereka untuk vaksinasi COVID19 segera!,” tegas Fairuz.

Tambah Fairuz, tanggungjawab pemimpin muda adalah menggerakkan anak muda untuk menjadi pelapis kepada pemimpin masa kini, menggunakan akal dan budi pekerti.

“Kita pemimpin, bukan perlu tunjuk pandai melalak-lalak, cari silap orang lain dan hentam, tapi kita kerja, jadi YB, yang bekerja, yang berkhidmat, bukan yang banyak cakap saja,” ujar Fairuz lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles