INANAM: Kira-kira 630 penduduk dari beberapa kampung terpencil di DUN Inanam menyertai program Outreach KKM bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) di SK Ruminding dan Kg Pinahawon hari ini.
Koordinator yang menyenaraikan nama-nama penduduk kampung yang menyertai program itu di Kg Pinahawon Dorini Balantis berkata beliau tidak menjangka program outreach mendapat sambutan luar biasa.
“Pada mulanya saya menjangka jumlah mereka yang ingin mendapatkan suntikan vaksin sekitar 300 orang sahaja berdasarkan jumlah penduduk terdekat.
“Saya rasa penduduk kampung sudah mula sedar pentingnya suntikan vaksin,” katanya selepas program outreach vaksinasi di kg Pinahawon.
Menurutnya sebahagian daripada krew KKM/UMS bermalam di SK Ruminding yang terletak tidak jauh dari kg Pinahawon sejak semalam sebagai persediaan program pemberian vaksin yang diadakan hari ini.
Rata-rata penduduk di sekitar Ruminding dan Pinahawon menzahirkan ucapan terima kasih kepada KKM dan UMS yang membantu menjayakan program outreach vaksinasi itu.