Pandemik Covid-19 Bukan Penghalang Untuk Mencapai Kecemerlangan Dalam Arena Pendidikan – Salleh

SALLEH SAID KERUAK

KOTA BELUD: Pandemik Covid-19 bukan penghalang untuk melakar kejayaan dan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, kata Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Advertisements

Beliau berkata ini terbukti apabila masih ramai pelajar yang telah mencapai keputusan cemerlang dalam SPM 2020 meskipun menggunakan kaedah baharu pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Bagaimanapun, Salleh berkata pelbagai cabaran terpaksa dihadapi ke arah menjayakan pendekatan baharu PdPR.

“Walaupun kita sedar sistem pembelajaran secara online adalah satu norma baharu yang mencabar dan memerlukan fokus dan kesungguhan yang tinggi.

“Namun, sebahagian besar pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran bukan lagi secara bersemuka tetapi menggunakan pendekatan baharu iaitu PdPR,” katanya.

Salleh yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Usukan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan SPM 2020 SMK Pekan II Kota Belud secara maya hari ini.

Turut serta pada majlis itu ialah Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud Mohd Fadzli Bin Abd Rozan, Pengetua SMK Pekan II Kota Belud Jainol Bin Sair dan Yang dipertua PIBG SMK Pekan II Kotak Belud Masrin Bin Bedin @ Pedin.

Beliau berkata pelaksanaan PdPR di seluruh negara bukan sahaja memberi cabaran kepada ibu bapa tetapi juga guru dan pelajar yang terpaksa berdepan pelbagai isu.

“Apabila kelas dijalankan secara dalam talian, ia bergantung pada persediaan pelajar terbabit dari segi peranti, pelan data dan motivasi diri. Manakala guru perlu menyesuaikan diri dengan sistem baharu serta menggunakan teknologi sebagai medium untuk mengajar anak murid.

“Sebaliknya ibu bapa perlu masuk campur segala urusan yang melibatkan pendidikan dan perlu memastikan anak-anak mereka mengikuti kelas dalam talian atau luar talian,” katanya.

Menurut Salleh, bukan perkara mudah untuk
menguruskan kerja tetap mereka serta menguruskan pengajian anak-anak mereka di rumah “kerana ia perlu bergerak seiring”.

Beliau percaya dengan penganugerahan dan pengiktirafan pelajar cemerlang SPM 2020, ia akan dapat menyuntik semangat guru-guru sekalian untuk terus berkhidmat dengan lebih dinamik, dedikasi dan penuh iltizam yang tinggi.

Salleh berharap kejayaan itu akan menjadi pemangkin kepada murid-murid lain agar berusaha mencapai kecemerlangan pada masa akan datang.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles