KOTA KINABAlU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun menyifatkan kenaikan jumlah kes baharu COVID ke angka 913 bagi negeri Sabah hari ini sebagai “teramat tinggi”.
Menurutnya kawasan Kota Kinabalu sahaja mencatatkan 233 kes baharu termasuk 27 daripada Penjara Kapayan, diikuti oleh daerah Penampang dengan 101 kes, Tawau 73, Beaufort 70, Kalabakan 61 dan Tuaran 56.
Semua daerah mencatatkan kes baharu, sekali gus menunjukkan trend yang terus melonjak dan membimbangkan.
“Lebih separuh iaitu 54.8% (500 kes), kes hari ini berpunca dari saringan kontak rapat di mana 138 kes daripadanya dikesan di daerah Kota Kinabalu.,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Masidi berkata Kluster sedia ada pula menambah 162 kes (17.8%) manakala saringan bergejala merekodkan 120 kes (13.2%)*
Beliau berkata tiga kluster baharu hari ini yang semuanya dikesan di Keningau iaitu Kluster Bayangan (kluster komuniti), Kluster Bariawa Laut (kluster komuniti) dan Kluster Menawo Baitah (kluster tempat kerja).