TAMPARULI: Susulan kes kluster Covid-19 membabitkan 17 orang di Kampung Pukak, Kiulu, ramai penduduk Dun Kiulu yang mula menyedari betapa pentingnya menyertai program vaksinasi yang diberikan oleh kerajaan secara percuma.
Hari ini sahaja, dianggarkan sekitar 1,600 penduduk Kiulu, khususnya yang tinggal di sekitar Pekan Kiulu dan Kampung Mantob yang terletak berhampiran dengan kampung Pukak, datang untuk mendapatkan suntikan vaksin di Dewan Tun Hamdan Tamparuli.
Program kendalikan Kementerian Kesihatan Malaysia itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
“Sebenarnya ramai lagi penduduk Kiulu yang menunggu giliran. Saya lihat sambutan hari ini begitu menggalakkan,” kata Jumadi Gimus, Pegawai Penyelia dari UPPM Kiulu yang menyelaras senarai penerima vaksin bagi Kampung Mantob.
Beliau berharap momentum itu akan berterusan sehingga semua penduduk Kiulu menerima suntikan vaksin.
Difahamkan, ramai warga emas dari Kampung Mantob yang pada mulanya “was-was atau ketakutan kesan sampingan” suntikan vaksin, tetapi keadaan sudah berubah selepas kluster Covid-19 dikesan berlaku di kg Pukak.
“Mula-mula saya pun takut kena suntikan vaksin. Saya balik-balik dengar cerita orang kononnya suntikan vaksin boleh membawa maut.
“Apabila saya dengar betul-betul penerangan mengenai vaksin….rupanya suntikan vaksin boleh melindungi kita dari terjangkit Covid-19,” kata warga emas Solinah Sambag selepas menerima suntikan vaksin di Dewan Tun Hamdan Tamparuli hari ini.
Solinah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada KKM yang mengutamakan warga emas meskipun lewat mendaftar.
Sementara itu, bekas Ketua Kampung Mantob Midin Lobintang menyuarakan kegembiraannya selepas kesemua mereka sekeluarga termasuk anak-anak dan ibunya divaksin.
“Kita berharap pada penghujung tahun ini, negeri kita akan mencapai sasaran imuniti kelompok, sekoli gus kita dapat menjalani semula kehidupan normal seperti dulu,” katanya.