Jasa guru dalam memperkasa pendidikan sentiasa dihargai – Dr. Joachim

RANAU: Jasa bakti dan pengorbanan guru dalam usaha memperkasa pendidikan dan mendidik para pelajar untuk membangun anak bangsa, sebagai generasi yang kelak akan menjadi peneraju serta pemimpin negara masa hadapan, sentiasa dihargai.

Advertisements

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata dalam usaha mendidik generasi baharu, peranan guru adalah sangat besar dan mencabar.

Situasi semasa telah menambahkan lagi cabaran kepada para pendidik untuk menanam semangat cintakan ilmu kepada para pelajar, tambahnya.

“Apabila pandemik Covid-19 menular dalam negara lebih setahun yang lalu, persekolahan di seluruh negara telah bertukar senario. Pembelajaran di rumah secara Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan.

“Peranan guru telah bertambah dari mengajar di kelas sebelum pandemik, kepada pengajaran secara maya melalui aplikasi digital. Kaedah ini tentu sekali memberi tugasan tambahan kepada para guru untuk memastikan golongan pelajar dengan capaian internet mendapat pendidikan optimum.

“Dalam masa yang sama, pelajar yang tidak mendapat liputan internet tidak pernah dilupakan,” katanya semasa merasmikan pelancaran Pertandingan Pameran Digital sempena sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Ranau 2021 yang diadakan secara maya hari ini.

Dr. Joachim berkata tema Hari Guru iaitu “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” sangat bertepatan dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia, dalam usaha untuk menjadikan semua pihak, mengamalkan kecintaan kepada ilmu pengetahuan sebagai teras kepada pendidikan.

“Saya merakamkan penghargaan terima kasih kepada seluruh kepimpinan di Pejabat Pendidikan Daerah Ranau kerana memberikan khidmat yang cemerlang dalam memastikan pendidikan dinikmati oleh semua lapisan pelajar.

“Saya difahamkan bahawa kalangan guru telah bekerjasama dengan masyarakat setempat, khususnya Persatuan Ibubapa dan Komuniti, untuk mengedar modul-modul pembelajaran di seluruh pelusuk kampung, demi memastikan para pelajar tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran, sepanjang penutupan sekolah akibat pandemik yang berlaku,” katanya.

Hari Guru pada tahun ini disambut secara sederhana tetapi tetap meriah.

Dr. Joachim berkata beliau difahamkan bahawa sambutan hari guru di daerah Ranau dilaksanakan secara digital bagi mematuhi ketetapan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

“Sungguhpun demikian, saya sangat kagum dengan semangat dan kesungguhan Pejabat Pendidikan Daerah Ranau yang masih mampu menganjur dan memgelola semua aktiviti sambutan Hari Guru Tahun 2021,” tambahnya.

Pameran Digital yang dilaksanakan sempena sambutan Hari Guru peringkat Daerah Ranau kali ini, merupakan satu wadah kepada pihak sekolah, berkongsi dengan masyarakat setempat tentang profil dan kejayaan sekolah.

Melalui pameran digital ini, pihak sekolah dapat berkongsi dengan masyarakat tentang segala aspirasi sekolah, kejayaan yang dicapai serta aktiviti yang dilakukan oleh para pelajar di sekolah.

“Melalui kaedah pameran ini, keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap segala usaha warga pendidik di sekolah, dapat dikongsi bersama,” kata Dr. Joachim, sambil menyeru kepada semua pihak untuk sama-sama berganding bahu dan menggembleng tenaga agar usaha membina generasi baru untuk menyediakan mereka sebagai pemimpin generasi akan datang akan dapat direalisasikan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles