Jahid Puas Hati Perjalanan Pemberian Suntikan Vaksin Unit Bergerak di Tamparuli

JAHID Bersama Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussein dan kepimpinan Daerah Kecil Tamparuli, meninjau suasana pemberian vaksin di Dewan Tun Hamdan hari ini.

TAMPARULI: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berpuas hati dengan perjalanan pemberian suntikan vaksin di pusat Mobile Vaccination Unit (unit bergerak) Dewan Tun Hamdan Tamparuli, hari ini.

Advertisements

Katanya, sistem pengurusan dan penyusunan para penerima suntikan vaksin dilihat sangat baik dan teratur.

“Kita sangat gembira melihat kemudahan vaksinasi, bilangan suntikan vaksin yang dilakukan, serta kelancaran program vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika turun padang bagi meninjau perjalanan proses pemberian vaksin tersebut di Dewan Tun Hamdan, sini, hari ini.

Menurutnya, kesedaran masyarakat semakin meningkat hasil kempen masuk kampung, bersemuka, menerusi maya, keluarga, jiran, kawan-kawan, serta kenalan rapat, turut membantu menjayakan program berkenaan.

Beliau menambah, peranan dan tindakan kepimpinan dari peringkat daerah hingga ke peringkat kampung, juga banyak membantu melancarkan program vaksinasi tersebut.

Pada tinjauan tersebut, Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, amat berpuas hati dengan pengurusan dan proses pemberian vaksin yang dilihat berjalan dengan lancar.

Justeru, beliau yakin perancangan yang strategik tersebut akan dapat membantu mencapai sasaran kerajaan untuk menyelesaikan pemberian vaksin pada bulan Ogos ini.

Beliau juga berharap semoga inisiatif tersebut dapat mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada semua rakyat Malaysia sekaligus membentuk imuniti kelompok dengan lebih cepat.

“Bersama-sama kita berganding bahu membentuk imuniti kelompok, dan bagi yang belum mendaftar vaksin, silalah daftar segera bagi menghalang penularan wabak Pandemik COVID-19,” katanya.

Terdahulu, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, berkata, hari ini sebanyak 1,500 suntikan diberi kepada masyarakat Tamparuli daripada keseluruhan yang sudah mendaftar untuk suntikan vaksin tersebut.

Herman berkata, program vaksinasi untuk Tamparuli dan Kiulu itu akan diteruskan sehingga 25 Julai 2021, dengan menyasarkan lebih kurang 6 ribu vaksin diberikan kepada penduduk.

Dalam pada itu, suasana dan aliran trafik di kawasan Dewan Tun Hamdan dilihat terkawal dan rata-rata penerima vaksin yang ditemui, berpuas hati dengan keseluruhan proses berkenaan.

Seorang penduduk dari Kampung Damat, Rico J Sandar, 45 tahun, berkata, beliau sangat gembira kerana akhirnya berjaya mendapatkan suntikan vaksin dos pertama atas usaha pihak kerajaan menerusi kepimpinan di kampung mereka.

“Tidak sakit sedikit pun, rasanya digigit semut lebih sakit, malah saya tidak perasan jarum sudah dicucuk atau belum, tapi saya sempat melihat rupanya jarum sudah dicucuk di tangan saya,” katanya.

Turut hadir Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussein, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak dan Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles