Sambutan Aidiladha Waktu Pandemik Bawa Hikmah Penting – Salleh

KOTA KINABALU: Sambutan Aidiladha dalam masa pandemik membawa banyak hikmah penting, terutama dalam menghayati erti “pengorbanan”.

Advertisements

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ia merupakan peluang untuk merenung dan sama-sama memahami erti pengorbanan dan “berkorban”
dalam konteks Ibadah Korban.

“Sempena sambutan Aidiladha tahun ini, saya ingin menyeru kita teruskan beribadah dengan bermurah hati dan ringan tulang untuk saling bantu sesama manusia kepada semua yang terkesan akibat pandemik tanpa mengira agama atau bangsa.

“Dalam keadaan mencabar sekarang, saya berpendapat semangat korban sebegini seharusnya juga dilihat sebagai ibadah dan usaha yang termasuk dalam contoh teladan pengorbanan Nabi Ibrahim,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Salleh yang juga Adun Usukan berkata pada asasnya pengorbanan “adalah kembali pada hakikat penyerahan segala sesuatu yang dianggap sangat berharga dan disayangi”.

“Sabar merupakan perkataan yang sering kita dengar, tapi ianya memang susah untuk dilaksanakan. Ia benar-benar memerlukan kita menguasai nilai kesabaran dalam diri masing-masing.

“Dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 153, Allah SWT sendiri menyebut “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua untuk meneruskan amalan sabar.

“Saya yakin kesabaran akan membantu kita mengatasi semua ujian kita sekarang. Insya-Allah.

“Semoga setiap kesabaran dan pengorbanan kita di muka bumi ini demi sesuatu kebaikan akan mendapat hikmah, balasan dan redha Allah SWT,” katanya.

Sempena perayaan Aidiladha, Salleh dan keluarga mengambil kesempatan untuk memohon Maaf Zahir dan Batin kepada semua Umat Islam, khususnya di dalam Kawasan DUN Usukan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles