
KOTA KINABALU: Satu kluster baharu dikesan di Sabah hari ini dikenali sebagai Kluster Kg Pukak, Tuaran disyaki berpunca daripada majlis kenduri kesyukuran pada 3 Julai lalu.
Pukak merupakan salah satu kampung yang berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Kiulu yang terletak di kaki banjaran Crocker.
Tempat ini merupakan perkampungan majoriti Kaum Dusun, dan terkenal dengan tarikan aktiviti berakit.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, majlis kenduri yang membawa kepada wujudnya kluster di kampung Pukak itu dihadiri oleh keluarga terdekat di kampung tersebut.
“Kes indeks merupakan lelaki, 47, bergejala demam, batuk dan selsema sejak 7 Julai 2021, sebelum disahkan positif RTK-Ag 100% pada 9 Julai 2021,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Masidi berkata, daripada 55 kontak rapat yang disaring, 16 kes disahkan positif menjadikan jumlah kumulatif kes positif kluster ini sebanyak 17 kes termasuk sembilan kes baharu hari ini.
“Saringan melibatkan kontak rapat dari Kg Pukak, Kg Pinagon dan Kuarters Loji Air Telibong 1,” katanya.
Sementara itu, ratusan penduduk Kampung Mantob yang tinggal bersebelahan dengan Kampung Pukak dijadual akan menerima suntikan vaksin di Dewan Tun Hamdan Tamparuli pada Khamis ini (22 Julai).