Ketegasan Hajiji Pertahankan ‘dine in’, GRS kini semakin diyakini rakyat Sabah

Oleh Wartawan Jesselton Times

Advertisements

KOTA KINABALU: Ketegasan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mempertahankan keputusan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membenarkan “dine in” dilihat sebagai titik perubahan yang menyaksikan GRS kini semakin diyakini rakyat Sabah.

Pendekatan tegas itu bukan sahaja disenangi oleh rakyat biasa malah para pemimpin pembangkang dilihat senada dengan suara mereka dan ada di kalangan pemimpin pembangkang yang ‘terang-terang menyokong keputusan kerajaan GRS itu.

Rata-rata pemerhati politik sependapat bahawa strategi yang tidak terlalu ikut “telunjuk KL” ini mula mendapat tempat di hati rakyat negeri ini apatah lagi dalam Perlembagaan Persekutuan isu kesihatan awam termasuk dalam Senarai Bersama kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah.

Penganalisa politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Lee Kuok Tiung berkata keputusan membenarkan “dine-in” merupakan salah satu langkah pemulihan ekonomi domestik setelah mengambilkira input daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah dan Majlis Penasihat Ekonomi Sabah.

“Ternyata Ketua Menteri dan kerajaan negeri telah menyimbangkan kepentingan rakyat daripada segi kesihatan dan pemulihan ekonomi.

“Dalam keadaan para peniaga mengeluh “terjejas teruk” dengan pelaksanaan PKP, keputusan kerajaan negeri membenarkan “dine in” amat wajar dan disokong oleh semua pihak.

Lee berkata langkah kerajaan GRS itu juga jelas tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti scan MySejahtera dan penjarakan fizikal.

Menurut Lee, keputusan kerajaan negeri itu juga disokong pemimpin-pemimpin parti-parti komponen GRS, sekali gus menunjukkan solidariti dan persefahaman dalam kalangan mereka semakin kukuh.

Timbalan-timbalan Ketua Menteri Datuk Bung Moktar yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Presiden Star turut mezahirkan sokongan terhadap langkah melonggarkan SOP tersebut.

Parti Bersatu Sabah (PBS) menerusi Setiausaha Agungnya Datuk Joniston Bangkuai juga secara rasmi mengeluarkan kenyataan media pendirian parti yang menyokong penuh keputusan Pengerusi GRS tersebut. Turut menyokong Datuk Yong Teck Lee, Presiden SAPP sebuah lagi parti komponen Perikatan Nasional.

Lee berkata ADUN Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak merupakan pemimpin paling awal mengeluarkan kenyataan menerusi media sosial yang menyambut baik keputusan Ketua Menteri dan kerajaan negeri Sabah disusuli pemimpin-pemimpin lain termasuk oôpembangkang.

Lee berkata ini bukan pertama kali pemimpin-pemimpin GRS menunjukkan persefahaman dalam hal ehwal tadbir urus kerajaan negeri Sabah.

Katanya ketika krisis politik di Perak mencetuskan khabar angin yang tidak berasas, GRS telah tampil untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) 9 Januari 2021 meletakkan titik noktah kepada semua spekulasi tersebut di samping memperkukuhkan kerjasama politik di negeri ini.

Ujian terbaharu adalah apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini memutuskan untuk menarik balik sokongan serta-merta terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Lee berkata pengumuman Zahid itu telah menyebabkan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar sekali lagi terpaksa tampil menjelaskan pendirian UMNO Sabah meletakkan prioriti kepada kerjasama GRS di negeri ini.

Pendirian Datuk Bung meneruskan sokongan dan kerjasama dalam GRS dilihat sebagai menyerlahkan status autonomi UMNO di Sabah di samping dilihat tidak mahu terpalit dengan perseteruan di antara UMNO-PPBM di Semenanjung.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles