Muhyiddin perlu berundur jika tidak mampu jadi ketua

KOTA KINABALU: Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu berundur jika sudah tidak mampu menjadi ketua.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, Muhyddin juga telah gagal sebagai ketua pentadbir negara dalam pengurusan krisis.

Katanya, kegagalan itu dilihat dalam pelbagai perkara terutamanya memastikan pemberian vaksin yang banyak di Sabah, gagal membendung Covid-19 dan kelemahan program bantuan rakyat.

“Dalam konteks Sabah, saya tidak nampak keutamaan yang diberikan oleh Muhyiddin terutamanya dari segi pemberian vaksin menyebabkan kerajaan negeri terpaksa ‘balik-balik’ meminta kepada kerajaan pusat.

“Kalau semasa pilihanraya tahun lepas, bukan hebat lagi beliau berhujah kononnya jika kerajaan negeri senada/sekomponen dengan persekutuan, maka lancarlah pembangunan Sabah. Tapi dalam pengurusan krisis Covid ini, Sabah terkebelakang dalam pemberian vaksin.

“Sabah juga terkebelakang dalam urustadbir prosedur operasi standard (SOP) sehingga Ketua Menteri Sabah terpaksa mengeluarkan pengumuman sendiri (yang tidak mahu diperakukan segera oleh MKN),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ewon berkata, Perdana Menteri adalah Pengerusi MKN yang bertanggungjawab membuat keputusan berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan SOP.

Katanya lagi, semasa pilihanraya, jentera dari pelusuk Semenanjung dikerah ke seluruh Sabah, tetapi dalam program pemberian vaksin, tidak nampak usaha kerajaan persekutuan mengerah jenteranya berkempen untuk memberi vaksin di seluruh Sabah.

“Malah amat menyedihkan, ada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terpaksa ditutup dan jadual pemberian vaksin dibatalkan kerana kekurangan vaksin,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan Muhyiddin sebagai ketua juga diakui sendiri oleh Umno iaitu parti komponen kerajaan.

“Lihat sahaja banyak SOP yang caca marba sejak diperkenalkan. Lihat sahaja kegagalan Ordinan Darurat dalam menurunkan bilangan kes jangkitan Covid-19.

“Selain itu, kemerosotan ekonomi dalam negara termasuk prestasi bursa, bertambahnya bilangan kes bunuh diri kerana tekanan yang dihadapi di atas kegagalan-kegagalan yang menyebabkan tekanan diri dan kelemahan program bantuan sehingga rakyat terpaksa menjaga sesama rakyat,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles