Jejak komuniti belia luar bandar: Andi

Oleh Liza Din

Advertisements

PULAU MANTANANI : Kerajaan Negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan kini giat mengenalpasti komuniti belia khasnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryadi Bandy berkata
usaha itu bertujuan memastikan semua komuniti belia di seluruh negeri Sabah dapat menjalani rutin kehidupan sebagai belia yang sihat dan produktif.

“Untuk membangunkan semula negeri kita, bahkan seluruh negara, inilah masanya dimana kita semua bekerjasama, mengenalpasti komuniti belia di seluruh kawasan dan bersatu hati dalam usaha mewujudkan persekitaran komuniti yang sihat dan cergas.

“Saya yakin, sesebuah komuniti itu akan tampil cergas, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada kejayaan pembangunan kawasan, daerah, negeri bahkan sehingga ke persada dunia, apabila komuniti belianya aktif dan cergas dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Andi berkata demikian semasa hadir dalam sesi Jejak Komuniti Belia di Pulau Mantanani pada Rabu.

Turut serta dalam program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan Fairuz Renddan dan ADUN Pantai Dalit Jasni Dayah dan ADUN Tempasuk Arsad Bistari.

Menurut Andi, komuniti belia luar bandar akan terus diberi perhatian dan dipantau dari aspek keperluan dan kemudahan yang perlu dipertingkatkan khasnya dari segi aktiviti sukan dan riadah.

“Kita akan berusaha untuk memberikan dan menyalurkan segala keperluan yang kita mampu, misalnya peralatan untuk aktiviti sukan bagi komuniti belia di kawasan luar bandar, seperti bola, jaring, kemudahan lain-lain misalnya fasiliti sukan juga, insyaAllah,” katanya.

Dalam pada itu, Fairuz berkata, usaha jejak komuniti belia di luar bandar itu adalah bukti keprihatinan Kerajaan Negeri dan ia adalah usaha berterusan yang akan memberikan manfaat kepada semua komuniti belia di seluruh negeri.

“Saya amat berbangga kerana kali ini, kawasan Pulau Mantanani, sebuah kawasan yang berada dalam DUN Pintasan, menjadi lokasi kunjungan daripada pihak kementerian dan saya pasti ini adalah usaha dan komitment serius Kerajaan Negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan, di mana pembangunan komuniti belia di seluruh negeri akan dipandang serius.

“Kita sedar realiti masa kini, belia adalah nadi kepada pembangunan modal insan yang akan mewarisi tampuk pemerintahan negara, belia jugalah yang akan meneruskan usaha meningkatkan ekonomi dan sumber pendapatan negara serta belia jugalah penerus kepada nadi kesejahteraan negara kita, negara Malaysia yang kita sayangi ini,” kata Fairuz.

Andi turut menyampaikan sumbangan keperluan peralatan sukan kepada komuniti belia di Pulau Mantanani dan meluangkan masa bersama dalam aktiviti bola tampar pantai.

“Semoga belia kita, semua, di seluruh negeri dan negara, akan terus menikmati pembangunan yang sihat, seimbang dan cergas mental serta fizikal, kerana belia adalah aset negara yang sangat bernilai,” ujar Andi lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles