KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menzahirkan sokongan penuh tindakan Ketua Menteri dan kerajaan negeri melaksanakan pelonggaran prosedur operasi standard (SOP) di negeri ini.
“Kita harus faham bahawa sekarang kita berada dalam Pelan Pemulihan Negara, bukannya Perintah Kawalan Pergerakan.
“Seharusnya kita tumpukan perhatian kepada pemulihan Sabah dengan penyesuaian SOP mengikut situasi terkini,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Pada Isnin, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, dalam satu kenyataan, dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan negeri Sabah akan melaksanakan Pelan Pemulihan Negara – Fasa 1 mulai 29 Jun 2021 dengan mengekalkan sebahagian besar Standard Operasi Prosedur (SOP) Negeri Sabah PKP 3.0.
Berikutan itu, katanya beberapa aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi.
Hajiji berkata ini termasuk membenarkan Dine-In di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel selain membenarkan gerai-gerai menjual sayur, ikan dan buah- buahan di tepi jalan raya dan kedai gunting rambut beroperasi.
Turut dibenarkan ialah aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal
Dalam hal ini, Salleh yang juga Adun Usukan percaya percaya Kerajaan Negeri sudah mengambil kira dan pertimbangan semua faktor sebelum mengumumkan perkara itu.
“Saya menyokong sepenuhnya tindakan Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pelonggaran SOP untuk Sabah,” katanya.
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata Kerajaan Pusat patut menghormati keputusan dan memberikan kerjasama kepada Kerajaan Negeri Sabah.